UMUM mungkin telah mengenali siapa Datuk Seri Dr. Vida, pengasas produk kecantikan Vida Beauty Sdn. Bhd. dan produk kesihatan berjenama Pamoga.
Apa tidaknya, penampilan yang ditonjolkan lain daripada yang lain, pakaian sedondon sentiasa dilengkapi dengan barang kemas bergemerlapan termasuk mahkota di kepala.
Trademark ‘Qu Puteh Qu Puteh, Barulah Putih’ dengan dua jari berbentuk ‘V’ di pipi sambil memuncungkan bibir memastikan Dr. Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman dikenali ramai dan diingati.
Tambahan pula, kebelakangan ini, anak kelahiran Machang, Kelantan itu sering taja pelbagai program berbentuk hiburan di kaca televisyen yang pada setiap kali iklan, beliau sendiri muncul mempromosi produknya dengan cara tersendiri.
Penulis baru-baru ini berkesempatan bertemu dengannya untuk mengenali wanita berusia 44 tahun itu dari lebih dekat dan pertemuan itu sedikit sebanyak menonjolkan lagi watak sebenarnya.
Siapa Datuk Seri Vida
Mungkin ramai yang ingin tahu dari mana datangnya nama Vida sedangkan namanya sebenarnya adalah Hasmiza.
Ketika soalan itu diajukan, sambil ketawa beliau menjelaskan dulu rakannya sering memanggil Miza dan ada yang memangil Ida, namun beliau mengkomersialkan nama itu kepada Vida kerana menganggap huruf ‘V’ mempunyai nilai yang tinggi.
Diminta menceritakan latar belakangnya dan bagaimana beliau berjaya bergelar ‘multi-milionaire’ hari ini, dalam dialek pekat Kelantan, Hazmiza berkata: “Saya sudah merasa jerih perih, kegagalan demi kegagalan dalam perniagaan, perit disabotaj dan dianiaya malahan turut difitnah.”
Beliau juga pernah menghadapi cabaran paling getir apabila kehilangan dua daripada empat anak tersayang dalam kebakaran rumah tiga tahun lepas. Namun, enggan dirinya tewas di tengah jalan. Hasmiza tanpa putus asa, bangkit menempuh cabaran sehingga berjaya seperti hari ini.
Sejauhmana kejayaan Hasmiza, mungkin ramai yang sudah melihat sendiri kediaman mewahnya yang bernilai RM22 juta di Ipoh, Perak, memiliki 22 rumah mewah yang ada di antaranya dihuni pekerjanya. Malah beliau turut memiliki belasan kereta mewah, tidak terkecuali barangan kemas yang sentiasa menghiasi dirinya.
“Saya pernah merasakan semuanya, kegagalan, kehilangan, apa yang berlaku menguatkan semangat saya untuk berjaya di dunia dan akhirat. Jika saya tidak kuatkan semangat, saya tidak akan mengecapi kejayaan seperti hari ini.
Bermula dari bawah
Menceritakan dari awal kisah dirinya, kehidupan Hasmiza senang semasa kecil tetapi berubah tiba-tiba apabila ayah yang memiliki kilang papan meninggal dunia. Ibunya terpaksa menoreh getah untuk menyara beliau tiga beradik.
Untuk menampung belanja persekolahan, beliau mula meniaga secara kecil-kecilan dengan menjual kacang putih dan nasi bungkus kepada rakan di sekolah.
Ketika menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan Sejarah) di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Hasmiza turut berniaga produk dari Kelantan seperti kain batik, telekung, sambal daging dan keropok yang dijualnya kepada rakan-rakan dan pensyarah.
“Apa yang saya tak buat, semasa belajar saya berniaga dan bekerja kilang, kerja restoran makanan segera (KFC),” katanya yang tidak menghirau penat dan lelah.
Selepas habis belajar, saya ditugaskan mengajar di sekolah SJK (C) Poi Lam di Ipoh.
Walaupun sudah ada pendapatan bulanan tetap sebagai guru, minat untuk berniaga tidak pernah terpadam. Justeru, beliau mengambil keputusan mendalami bidang kecantikan iaitu dandanan rambut dan solekan.
Kelahiran Vida Beauty
Setelah ilmu dandanan dan solekan terisi dalam dada, beliau memberanikan diri membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 untuk membuka salun kecantikan.
“Dengan gaji cikgu RM3,000 pada masa tu, saya terpaksa membayar balik pinjaman bank sebanyak RM2,000, duit yang tinggal RM1,000 itu yang saya gunakan untuk bayar rumah dan kereta dan untuk makan. Itu antara masa-masa sukar yang terpaksa saya tempuhi,” katanya.
Mungkin masih cetek pengalaman, Hasmiza terpaksa berdepan halangan pertama apabila semua wang pinjaman sebanyak RM100,000 itu digunakan untuk kerja-kerja ubahsuai kedai.
“Semua RM100,000 habis digunakan untuk mengubahsuai kedai untuk dijadikan salun kecantikan. Tiada langsung wang untuk modal pusingan, untuk beli barangan berniaga, lucukan, kedai sudah cantik, tapi tiada barang untuk dijual.
Jadi, saya terpaksa cari duit lagi dengan meniaga di pasar malam, meniaga makanan, telekung semua saya jual untuk dapat modal bagi membuka salun kecantikan.”
Hasmiza nekad berhenti kerja setelah 12 tahun bergelar guru dan segera mendaftar sebagai tenaga pengajar di Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dengan mengajar kursus dandanan rambut dan solekan di pusat berkenaan.
Untuk meningkatkan kemahiran pelajar-pelajarnya, Hasmiza berpendapat mereka perlu diberi cabaran.
“Dalam kelas saya mereka ini potong rambut sesama sendiri, cuci muka sesama sendiri, pada saya ia tidak mencabar maka saya beri mereka cabaran. Saya beli kerusi RM15 sebiji dan bawa pelajar-pelajar ini ke pasar raya untuk beri khidmat cuci muka secara percuma kepada orang ramai.
“Alhamdulillah ia mendapat sambutan, kemudian saya belikan kerusi panjang, untuk beri peluang lebih ramai pelajar saya mempraktikkan ilmu yang dipelajari.
“Selepas itu mereka mahukan produk untuk mencuci muka…maka dari situlah saya lahirkan kosmetik saya, Vida Beauty,” katanya.
Kehabisan modal
Jelas Hasmiza, beliau memperolehi geran kerajaan sebanyak RM1 juta sebagai modal untuk memulakan perniagaan kosmetiknya. Separuh daripada wang berkenaan digunakan untuk melakukan kajian dan penyelidikan (R&D) produk.
Beliau juga ke beberapa negara untuk mencari bahan terbaik bagi menghasilkan kosmetiknya.
Manakala separuh lagi digunakan untuk mengiklankan produknya dalam sebuah majalah tempatan dengan kos RM100,000 dan mengiklan produk Vida Beauty menerusi radio swasta dan televisyen dengan kos RM400,000 namun wang itu seolah-olah hilang sekelip mata tanpa menampakkan hasil.
“Kegagalan pengiklanan yang menyebabkan saya rugi besar dan saya sangat-sangat tertekan dan disahkan mengalami tekanan darah tinggi. Namun apa yang berlaku sebenarnya ada hikmahnya. Sebagai seorang yang suka bereksperimen, saya cuba mengubati darah tinggi saya itu dengan mencipta formula sendiri.
“Saya cuba gunakan gamat yang sifatnya menyejukkan dan menggunakan khasiat buah delima sebagai bahan anti-oksidan dan daripada situ lahirlah pula produk kesihatan, Pamoga. Alhamdulillah, ia berjaya mengurangkan tekanan darah tinggi saya. Bagaimanapun kegagalan daripada aspek pengiklanan menyebabkan jualan tidak berganjak dan dalam tempoh setahun hanya kira-kira 500 botol Pamoga sahaja yang terjual.
Nyaris tutup kedai
Serik untuk mengiklan lagi, Hasmiza akhirnya memutuskan untuk menutup perniagaan. Namun, sebagai cubaan kali terakhir beliau mencabar diri untuk melakukan sendiri iklan produk jualannya di radio RTM Kelantan FM.
Selama dua hari berturut-turut beliau bercakap sendiri di radio mempromosi produk terutamanya Pamoga dengan durasi 15 minit untuk satu sesi.
Pada hari ketiga ketika beliau benar-benar nekad untuk menutup kedai di sebuah pasar raya di Kota Bharu, dilihatnya ramai yang berkerumun di hadapan kedainya itu.
“Saya ingat ada yang pengsan, tapi alangkah terkejutnya saya apabila rupa-rupanya mereka yang berkumpul ramai-ramai di depan kedai saya tu nak beli Pamoga. Itulah yang berlaku enam tahun lepas.
“Dari situ jualan semakin meningkat, dengan iklan gaya testimoni pengguna yang berkesan, produk ini semakin mendapat sambutan hingga melonjak jualan mencapai 100,000 botol sebulan.
Itu baru Pamoga, saya ada lebih 100 produk,” katanya.
Hasil jualan kesemua produknya mula mencapai lapan angka sebulan selepas hampir 10 tahun beliau berniaga.
“Sebab itu saya sangat berhati-hati dalam bab iklan. Dalam masa yang sama saya mula melabur dalam drama dan filem tempatan dan beberapa bisnes sampingan yang lain.
“Mula menaja beberapa program di televisyen dan terbaru, menaja pasukan bola sepak Kelantan sebanyak RM16 juta, dengan syarat, stadium Kelantan dicat warna pink (merah jambu),” katanya sambil tertawa.
Gagal dalam iklan buat Dr Vida kreatif
Menurutnya, beliau sangat cerewet soal iklan memandangkan telah beberapa kali mengalami kegagalan.
“Jika diikutkan, saya telah rugi jutaan Ringgit daripada pengiklanan yang tidak berkesan. Sebab itu saya buat sendiri iklan… Saya sendiri bertindak menjadi model untuk produk saya, saya sendiri yang akan cakap mengenai produk saya.
“Daripada situ saya perlu kreatif mencipta tagline sendiri, penampilan ‘bling-bling’, kalau tak bing-bling, tak sah. Itu semua untuk ‘jual’ produk saya.
“Itu semua agar orang akan ingat siapa Vida dan produk syarikat saya, Vida Beauty Sdn Bhd. Sangat kontra dengan siapa saya sebenarnya di rumah. Saya sebenarnya seorang yang berpenampilan sederhana. Kalau tiada urusan perniagaan, saya tak mekap, kalau di rumah saya hanya memilih baju kaftan.
“Daripada segi pemasaran pula, saya banyak belajar daripada kegagalan. Itulah ‘resepi rahsia’ perniagaan saya,” katanya.
Cabaran
Semakin rancak bercerita, beliau berkata dalam tempoh itu juga bukan sedikit cabaran yang terpaksa dihadapinya termasuk masalah saingan produk tiruan, unsur sabotaj dan berhadapan fitnah.
Terbaru, salah satu daripada produknya iaitu Qu Puteh Whitening Pro 9 diarah ditarik balik daripada pasaran kerana dikatakan mengandungi paras tinggi merkuri (raksa).
Hasmiza berkata beliau akur dengan arahan Kementerian Kesihatan itu dan berkata pengguna yang telah membelinya boleh memulangkannya.
Selain itu beliau sedar akan komen-komen negatif yang diterima namun ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan dengan perniagaanya.
“Saya tahu ramai yang mencemuh terutama dengan penampilan saya, tapi biarlah, saya dah kebal. Mereka tak faham saya…saya ada hala tuju sendiri.. kalau saya ikut kata-kata mereka, tak ke manalah saya,” katanya.
Jelasnya, beliau menjadikan anak-anak sumber inspirasi dan sebagai seorang yang terpaksa bekerja keras sejak dari kecil beliau tidak mahu anak-anak turut merasai kesusahan yang pernah ditempuhinya.
“Saya berasal dari keluarga susah, saya pernah rasa susah… jadi saya tak mahu anak-anak rasa seperti apa yang saya rasa. Merekalah inspirasi saya, sumber kekuatan saya.
“Saya juga mengajar mereka berniaga dari kecil… nampaknya kedua-duanya memang ada minat berniaga,” katanya.
Untuk tahun ini, kalendar perniagaannya semakin padat dengan memfokuskan beberapa perniagaan baharu, termasuk air mineral dan minuman isotonik selain memperkukuhkan jenama DSV (Datuk Seri Vida). Beliau juga merancang untuk meluaskan pemasaran produknya ke beberapa negara luar.
===============================================================================
Tips perniagaan
Sebelum mengakhiri temubual lebih sejam itu dengan penulis, beliau turut diminta memberikan tips kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan terutama bagi yang tidak mempunyai modal.
“Ya, selalunya mereka ni terfikir-fikir soal modal, cukup ke modal nak buat itu, nak buat ini…nak tunggu modal besar jatuh dari langit? Jangan, nak berniaga, buat saja dulu tak payah tunggu ada modal besar.
“Kalau ada RM10 buat meniaga cara RM10. Kalau ada RM100 buat bisnes yang sesuai dengan modal RM100. Contohnya jika ada RM10, apa perniagaan yang boleh dibuat. Jualah air ke, keropok lekor ke, kalau ada RM100, berniagalah barangan yang sesuai dengan modal RM100,” katanya.
Satu lagi, tambahnya, kebanyakan peniaga yang sudah mengecapi keuntungan akan mudah tergoda untuk berbelanja.
“Bila yang dah dapat duit itu ramai yang lupa, nak beli itu, nak beli ini, buat rumah beli kereta. Pada saya itu salah, saya sendiri hanya menikmati hasil usaha saya hanya enam tahun kebelakangan ini selepas saya bertungkus-lumus 16 tahun.
“Sebelum ini saya beli beg tangan pun setahun satu, saya dah ada duit tapi saya menahan diri daripada berbelanja. Dulu ada yang kata saya ‘cap ayam’ atau imej saya kekampungan sebab tak pakai barangan berjenama… tapi saya bersabar.
Memang ia sangat memerlukan ketahanan daripada segi psikologi untuk tidak berbelanja sedangkan kita tahu kita ada wang, tapi saya tahu saya ada kekuatan wang tunai dan saya tak ada hutang,” katanya.
Satu lagi petua daripada Hasmiza, sebagai orang Islam, perbanyakkan bersedekah kerana bila bersedekah rezeki yang diperolehi berkat selain selalu berdoa yang merupakan ‘senjata’ kejayaan bagi ummah. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]4jcc7de4WLs[/wpdevart_youtube]