KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah urusan syarikat minyak dan gas hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM13.3 juta dan mengemukakan dokumen palsu berhubung pembelian saham sebuah syarikat, pada 2013.
Datuk Harzani Azmi, 49, yang ketika itu pengarah urusan Tanjung Offshore Berhad menbuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Harzani didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan firma guaman Mathews Hun Lachimanan untuk memindahkan wang berjumlah RM13.3 juta daripada “akaun pelanggan di Standard Chartered Berhad milik Mathews Hun Lachimanan ke akaun pelanggan di Kenanga Investment Bank Berhad”.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di 10-3, Batu 3, Jalan Klang Lama, di sini antara 14 Nov hingga 27 Nov 2013.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Harzani juga didakwa atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu iaitu suatu kertas cadangan bertajuk ‘Proposed Acquisition of Remaining Shares In Gas Generators (M) Sdn Bhd (GASTEC)’ berhubung pembelian 49 peratus saham syarikat Gas Generators dimiliki Syarikat Appolusa Sdn Bhd pada harga RM34.3 juta kepada Ahli Lembaga Pengarah Tanjung Offshore.
Kertas cadangan itu dikemukakan melalui Tan Seow Hoe, Ketua Bahagian Kewangan Korporat Tanjung Offshore Berhad, yang mana tertuduh tahu nilai saham RM34.3 juta itu adalah tidak benar kerana melebihi nilai sebenar sehingga mendorong ahli lembaga pengarah Tanjung Offshore memasuki satu perjanjian jual beli saham antara Appolusa Sdn. Bhd dan Tanjung Offshore bertarikh 21 Okt 2013.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Pejabat Tanjung Offshore Berhad, Wisma UOA, Damansara, di sini pada 10 pagi, 21 Okt 2013.
Harzani didakwa mengikut Seksyen 366(1)(a) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin dari Unit AMLA dan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Umar Saifuddin Jaafar, masing-masing menawarkan wang jaminan RM200,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan.
Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.
Bagaimanapun, peguam N. Sivananthan yang mewakili Harzani memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai kebarangkalian untuk tidak menghadirkan diri ke prosiding seterusnya.
Peguam itu berkata Harzani hadir ke pejabat SPRM untuk direkodkan kenyataannya sepanjang siasatan dilakukan sejak 27 Okt 2014.
“Pada Jumaat lalu, anak guam saya berada di hospital ketika dimaklumkan dia akan dituduh di mahkamah dan selepas dia keluar dari hospital semalam, dia terus melapor diri di SPRM Putrajaya dan hadir ke mahkamah hari ini untuk didakwa atas dua pertuduhan,” katanya sambil menambah anak guamnya perlu kembali semula ke hospital untuk rawatan selanjutnya selepas diikat jamin. Hakim Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah. Mahkamah turut menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA