TEATER Zombie La La La merupakan sebuah karya terbaru CTRA Production, yang mana produksi ini tidak asing lagi dalam industri teater negara.
Selepas beberapa kejayaan teater lain di bawah terbitannya seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan banyak lagi.
Berkesempatan untuk menyaksikan teater ini di Istana Budaya, ternyata sentuhan Erma Fatima dan Siti Rohayah Attan tidak mengecewakan bahkan masih berbisa walaupun terdapat pertukaran pelakon pada saat-saat akhir.
Ia bijak apabila gabungan antara pelakon lama dan baharu di atas pentas teater dapat menghidupkan lagi teater tersebut di samping dapat menutup kekurangan dan kelemahan yang ada.
Dalam menghidupkan sesebuah teater, terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh para produksi dan juga pelakon-pelakonnya.
Mynewshub difahamkan, bagi pementasan teater ini masa yang singkat sahaja diperuntukkan untuk membuat latihan tarian, lakonan dan persediaan props, set serta kostum.
Zombie La La La merupakan teater komedi yang menerapkan elemen jenaka ringan dan bertujuan untuk hiburan semata-mata.
Mynewshub percaya ia boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat sama ada kecil atau dewasa. Jalan ceritanya tidaklah berat atau susah untuk difahami.
Ia mengisahkan sekumpulan zombie antaranya dari Malaysia, Thailand, Amerika Syarikat, Mesir dan Indonesia datang ke Kuala Lumpur setelah tahu terdapat formula yang akan memulihkan rupa paras mereka kepada asal.
Antara pelakon yang menjayakan watak-watak dalam teater ini adalah Amar Baharin (Kapten Cook), Siti Saleha (Cleopapa), Hafreez (Elvis Pasola), Amy Mastura (Happy Witch), Zulin Aziz (Miss K), Janna Nick (Memang Nak) serta dua pelakon teater iaitu Mei Fin (Lili Poh) dan Rosnan Rahman (Patih Kurnia).
Pada pandangan kaca mata kami, penglibatan Zulin Aziz dan Amy mastura dalam pementasan teater memang tidak asing lagi ditambah pula dalam menjayakan watak komedi yang merupakan ‘mainan’ mereka.
Bagi pendatang baru, gelagat Janna Nick (Memang Nak) memang mencuri perhatian dan sangat mencuit hati saya.
Walaupun pertama kali dalam pentas teater, ternyata dia tidak kekok dan berjaya menghidupkan wataknya dangan baik sekali serta tidak tenggelam oleh pelakon yang lebih senior.
Perwatakannya yang sentiasa bergelek dan diselitkan dengan lawak spontan membuatkan audiens yang datang terhibur dan mendapat tepukan yang gemuruh.
Selain itu, teater ini juga banyak menerapkan nilai-nilai murni dan mesej-mesej yang bermanfaat, ada benar dan betulnya apa yang cuba disampaikan oleh kesemua watak.
Di samping mempromosikan Pelancongan Malaysia, ia diterjemahkan  dengan kedatangan zombie dari pelbagai negara yang terpesona akan kecantikan serta keunikan Malaysia.
Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai masa dan peluang, ambillah kesempatan yang ada untuk menonton Zombie La La La di Istana Budaya bermula 13 Februari sehingga 21 Februari 2016. Sama-samalah memartabatkan industri teater negara. – MYNEWSHUB.CC