ROM – Seramai 12 orang penyamun berjaya ditangkap pihak polis di Itali kerana disyaki mencuri lukisan-lukisan nadir bernilai 28,380 juta lira (14.7 juta euro atau RM67.3 juta) dari sebuah muzium tempatan di Verona.
Polis menangkap mereka berdasarkan rakaman kamera litar tertutup tentang perbuatan jenayah ini yang dipasang di Muzium Castelvecchio yang terletak di bandar Verona, kira-kira 515 kilometer dari utara ibu kota Rom.
Sebanyak 17 buah lukisan bernilai tinggi tersebut dicuri oleh sekumpulan perompak yang bersenjata api sejurus sebelum operasi muzium berkenaan mula ditutup secara rasmi kepada awam pada 19 November tahun lalu.
Sembilan perompaknya dikenal pasti sebagai rakyat Moldova dan baki tiga lagi suspek itu merupakan warga Itali sendiri. Kesemua lukisan yang dicuri itu pula disahkan pihak berkuasa sudah ditemui dengan selamat.
Kejadian rompakan terbesar itu menimbulkan persoalan tentang langkah keselamatan longgar di muzium tersebut yang ditubuhkan pada 1924 lalu oleh Antonio Avena dan mengandungi sebanyak 30 buah bilik galeri pameran.
Sesetengah pihak mendakwa kawalan keselamatannya banyak terjejas teruk akibat pemotongan dana perbelanjaan awam namun hasil siasatan awal pihak polis mendapati ia dilakukan oleh ‘orang dalaman’ muzium itu sendiri.
Kesemua 12 suspek penyamun terbabit berjaya diberkas pada 15 Mac lalu termasuk antaranya pengawal keselamatan muzium yang bertugas pada malam kejadian rompakan itu berlaku. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA