KUALA LUMPUR – Penghuni di 13 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara kini boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal membina parkir bertingkat di kawasan perumahan mereka mulai tahun ini.
Projek berjumlah RM408 juta itu melibatkan PPR Pekan Kepong, PPR Intan Baiduri, PPR Raya Permai, PPR Seri Pantai, PPR Kampung Baru Air Panas, PPR Hiliran Ampang Taman Mulia, PPR Desa Tun Razak, PPR Desa Petaling dan PPR Semarak.
Manakala PA yang terlibat ialah Desa Rejang, Seri Kota dan Seri Sabah.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dalam satu sidang akhbar berkata projek itu adalah hasil daripada kajian pihak DBKL mengenai masalah kekurangan kemudahan awam yang telah berlarutan di kediaman-kediaman terlibat.
Beliau berkata sebanyak 7,644 petak parkir akan ditambah berbanding 4,965 petak sedia ada dan ia akan dibina secara bertingkat.
“Parkir bertingkat di PPR/PA ini adalah yang pertama kali dibina dan selepas ianya siap pada tahun hadapan, kami akan meneliti caj parkir kenderaan yang bersesuaian dan berpatutan untuk kos pengurusannya seperti kebersihan dan kawalan keselamatan,” kata Mhd Amin Nordin.
Menurutnya, caj parkir berkenaan akan dikenakan kepada penghuni di 13 kediaman terbabit, manakala kad akses, pelekat kenderaan dan pengawal keselamatan juga akan disediakan bagi mengelakkan kenderaan luar daripada meletakkan kenderaan di dalam kawasan kediaman itu.
Sementara itu, katanya DBKL juga merancang untuk membina parkir bertingkat di taman awam antaranya di Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Metropolitan Kepong.
Dalam hal lain, beliau turut menasihati warga kota agar mengamalkan pengurusan sisa pepejal di punca dengan baik demi kesejahteraan alam sekitar.
Katanya DBKL terpaksa menanggung kos perbelanjaan pengurusan sampah berjumlah RM200 juta setahun. – BERNAMA