GEORGETOWN – Seramai 16 orang maut dalam rusuhan di penjara sesak di Guyana selepas banduan berang selepas telefon bimbit yang diseludup masuk dirampas, kata pegawai.
Tentera, polis dan anggota jabatan bomba dan penyelamat berada di tempat kejadian di bawah arahan superintendan penjara.
“Kami berdepan krisis….akibat beberapa insiden yang berlaku pada kira-kira jam 9.23 malam (waktu tempatan),” kata Menteri Keselamatan Awam, Khemraj Ramjattan pada sidang akhbar di sini.
Sebahagian ahli keluarga menunggu di luar penjara dan berbalah dengan pegawai penjara ketika mahu mendapatkan maklumat mengenai keselamatan saudara mereka. Lima banduan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Presiden David Granger berkata, panel tiga ahli dipanggil untuk menyiasat kejadian berkenaan.
Rusuhan bermula selepas pemeriksaan bulanan bagi mengesan barang larangan dijalankan selepas waktu tengah hari pada Rabu.
Superintendan penjara, Kevin Pilgrim berkata, sebahagian ganja dan 19 telefon bimbit dirampas.
Undang-undang Guyana membenarkan banduan membuat dua panggilan telefon setiap minggu. – Reuters/BH ONLINE