WhatsApp Messenger merupakan salah satu aplikasi perkhidmatan permesejan yang popular di seluruh dunia, dan disokong pada pelbagai platform peranti mudah-alih.
Menawarkan sokongan pada pelbagai platform boleh dikatakan agak sukar dan memakan sumber tenaga yang tinggi.
Bergerak ke hadapan, WhatsApp Messenger mengatakan mereka akan menamatkan sokongan untuk sejumlah platform pada penghujung tahun 2016.
Ini disebabkan oleh platform berkenaan tidak menyediakan beberapa perkara yang membolehkan WhatsApp menawarkan fungsi baharu pada platform berkenaan.
Antara platform yang akan ditamatkan sokongan oleh WhatsApp ialah BlackBerry (termasuk OS BlackBerry 10), Nokia S40, Nokia Symbian S60, Android 2.1, Android 2.2 dan juga Windows Phone 7.1.
WhatsApp meminta pengguna menaik-taraf kepada versi terkini Android, iPhone atau Windows Phone sebelum penghujung tahun ini untuk kekal menggunakannya.
Langkah ini mungkin tidak mengejutkan pelbagai pihak, memandangkan kebanyakkan platform yang ditamatkan sokongan adalah platform yang lama.
Namun, satu perkara yang mengejutkan adalah kerana WhatsApp menamatkan sokongan untuk platform BlackBerry sepenuhnya, BlackBerry 10.
Kami sebelum menggunakan peranti Android, peranti berjenama Blackberry-lah merupakan pilihan disebabkan harganya yang ‘mampu milik’ ketika di zaman universiti.
Berita mengenai penamatan ini sememangnya memberikan kejutan, lebih-lebih lagi kepada pengguna yang baru sahaja membeli Blackberry Passport dan Blackberry Classic.
Mungkinkah selepas ini lebih banyak aplikasi akan menamatkan sokongan untuk platform berri hitam, apatah lagi dengan pihak BlackBerry sendiri lebih memfokuskan kepada platform Android. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: WhatsApp