INDIA merupakan negara demokrasi terbesar di dunia dengan jumlah populasi penduduk mencecah 1.3 billion.
Ini secara tidak langsungnya membuatkan jumlah pengguna telefon mudah alih di sana mencecah 1 billion.
Walaupun mempunyai reputasi sebagai pembekal tenaga pakar IT yang baik, India masih mempunyai satu reputasi buruk di dalam kesaksamaan jantina.
Di Gujarat, kini wujud undang-undang yang mengharamkan remaja perempuan dan wanita bujang daripada menggunakan telefon selular.
Kegagalan mematuhi larangan ini akan menyebabkan mereka didenda ₹2,100 (~RM129 ) dan mereka yang melaporkan kesalahan pula diberikan wang sagu hati ₹200 (~RM12.30).
Larangan diwartakan kerana pihak berkuasa tempatan percaya telefon selular mengganggu dua golongan ini dari melakukan kerja rumah dan kerja sekolah.
Di Uttar Pradesh pengharaman juga diumumkan dan alasan yang diberikan turut tidak masuk akal.
Penggunaan telefon pintar dikatakan menyebabkan remaja wanita menjadi manja dan bercinta dengan lelaki.
Ini mengakibatkan mereka kemudian menjadi mangsa jenayah. Dengan mengharamkan penggunaan telefon selular ke atas remaja bawah 18 tahun, mereka berharap ‘masalah’ ini dapat diselesaikan.
Di Uttar Pradesh selain denda, ibu bapa gadis yang didapati bersalah akan turut dipaksa menyapu sampah sebagai hukuman.
Adakah hukuman ini munasabah ataupun tidak masuk akal bagi anda?
Bagi kami, setiap negara itu sudah semestinya mempunyai budaya, ‘masalah’ dan sistem sendiri.
Apabila kita merasakan sesetengah undang-undang pelik yang dijalankan oleh negara luar dilabelkan salah dan tidak bertamadun, kita secara tidak langsungnya telah tergolong dalam golongan ekstrim tanpa sedar.
Pastinya bosan jadinya dunia ini jika kesemua ‘budaya’ adalah serupa kan?
Apa yang dilakukan oleh kerajaan India adalah sistem mereka dan mengikut situasi yang berlaku di negara terbabit.
Di Arab Saudi perempuan tidak dibenarkan memandu, pun kita tidak boleh kutuk kerana itu adalah keputusan mereka. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Mashabel