Thursday, November 28, 2024

Creating liberating content

11 Pelajar Malaysia Dibawa...

NEW DELHI - Sejumlah 11 pelajar antara 54 rakyat Malaysia terkandas di dalam...

Oliveira Juara Kelas Moto3...

SEPANG - Penunggang pasukan Red Bull KTM Ajo, Miguel Oliveira dinobatkan sebagai juara...

PM Bayangkan Rombakan Kabinet...

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membayangkan bahawa rombakan Kabinet akan...

Wanita Tersalah Hantar Gambar...

IA merupakan mimpi ngeri terburuk bagi seorang wanita yang secara tidak sengaja telah...

Cadang Tubuh Agensi Baharu Koordinasi Pembinaan Perumahan Rakyat

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam masa terdekat akan mencadangkan agar kerajaan menubuhkan agensi baharu bagi mengawal selia proses pembinaan perumahan meliputi perumahan rakyat dan kuarters penjawat awam di negara ini.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata agensi itu kelak berperanan mengkoordinasi tanggungjawab beberapa entiti seperti Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bertanggungjawab membina perumahan kos rendah dan sederhana.

Selain itu katanya, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan mana-mana jabatan kerajaan lain yang menyediakan kuarters juga perlu berada di bawah seliaan agensi baharu itu.

“Kita ada banyak agensi. Kena kumpul kepada satu agensi untuk seliakan peranan tersebut. Perlu ada satu koordinasi sebab banyak jabatan yang jaga pasal perumahan rakyat termasuk kuarters,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Jumaat.

Abdul Rahman berkata demikian sebagai cadangan kepada persetujuan kerajaan meneliti semula Dasar Perumahan Negara terutama aspek harga hartanah yang dicadang ditentukan kerajaan dan bukan daripada aktiviti permintaan atau penawaran dalam pasaran.

Rabu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh melakukan kawalan harga secara berhemah dengan mengambil kira beberapa elemen seperti lokasi dan jenis rumah.

Menurut Ahmad Zahid, keputusan itu munasabah bukan hanya untuk kepentingan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mewakili 1.6 juta penjawat awam tetapi juga pembelaan untuk orang ramai.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata kementerian sememangnya mempunyai pelbagai agenda bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah khususnya penjawat awam di negara ini memiliki dan mendiami rumah sendiri.

Beliau berkata pihaknya bercadang mewujudkan bank tanah atau pembelian tanah menggunakan peruntukan kerajaan terlebih dahulu bagi membina perumahan rakyat sebelum membayar semula kepada kerajaan selepas projek terbabit siap dibina.

“Kami banyak bincang mengenai isu berkaitan perumahan rakyat. Kalau wujudkan bank tanah, nilai wang yang dipinjam daripada kerajaan untuk beli tanah tidak akan susut malah makin bertambah kerana harga hartanah tidak akan susut sama sekali,” katanya.


Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata campur tangan kerajaan bagi memastikan harga rumah terkawal mampu mengelak spekulasi harga yang menjadi penghalang isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) untuk memiliki rumah pada harga berpatutan.

“Kami harap dasar baharu itu kelak membela nasib golongan tersebut. Memang kena ada campur tangan kerajaan kerana harga rumah melambung dengan mendadak sehingga penjawat awam tidak mampu untuk membeli rumah.

Ini penting untuk pastikan sistem penentuan harga rumah tidak hanya dikawal oleh pihak swasta sahaja,” katanya.

Turut senada dengan Azih, Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Siti Rahayu Zakaria berkata dasar perumahan yang diperkenal pada 2011 itu sememangnya perlu diteliti semula selaras peredaran masa serta keadaan ekonomi rakyat.

Katanya penelitian semula dasar itu berupaya memenuhi keperluan semasa bertepatan dengan paras pendapatan rakyat.

“Rumah merupakan keperluan asas yang tidak boleh lagi ditentukan oleh pasaran bebas. Keputusan kerajaan tepat pada masanya bagi meneliti semula harga rumah yang ditentukan pihak swasta dan syarikat perumahan.

“Kami tidak mahu istilah ‘rumah mampu tengok’ kekal sehingga ke generasi akan datang,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori