Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

SEPADU Sekretariat Pelaksanaan ‘Keluarga...

KUALA LUMPUR - Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri akan menjadi...

Derma Organ: Kempen ‘YB...

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan sedang mengadakan kempen 'YB Jom Ikrar' di Bangunan...

2 Atlet Karate Negara...

KUALA LUMPUR - Karate tampak bakal melepasi sasaran enam pingat emas yang diintai...

KPDNKK Menafikan Harga LPG...

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menafikan bahawa harga...

Rakyat Perlu Hargai Nikmat Hidup, Kekalkan Keamanan – Raja Perlis

KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat supaya sentiasa menghargai nikmat kehidupan serta keamanan dan kebebasan yang dimiliki negara sekarang.

Baginda bertitah dengan nikmat kurniaan Allah itu, setiap rakyat tanpa mengira kaum dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa sebarang kebimbangan termasuk aktiviti keagamaan.

“Islam menyeru kepada keamanan dan kemakmuran tetapi jika nikmat tersebut diabaikan, ia akan memberi kesan buruk dan menyusahkan kepada semua termasuk generasi akan datang,” titah baginda ketika merasmikan penutupan Majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri Perlis di Dewan Warisan di sini, Khamis malam.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia Negeri, Khairi Hassan.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah rakyat perlu sama-sama memainkan peranan dalam menjaga untuk mengekalkan kesejahteraan yang dinikmati sekian lamanya.

Baginda turut menyeru agar seluruh rakyat sentiasa berusaha mencari dan mengutamakan ilmu yang bermanfaat seterusnya bijak menilai antara perkara yang baik dan buruk.

“Al-Quran adalah sumber paling tepat untuk dijadikan panduan dalam kehidupan setiap umat manusia, dan jika mereka berusaha untuk benar-benar memahami kandungannya, nescaya seluruh manusia dan alam pasti terpelihara,” titah baginda.

“Perkara ini adalah sangat penting bagi melindungi kita daripada terjerumus kepada perkara yang mungkar dan mudah menerima anasir negatif yang ingin memanipulasi manusia agar menjadi sesat.


“Lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan eksploitasi agama untuk kepentingan yang tidak baik serta menyebarkan dakyah-dakyah yang bertentangan dengan ilmu agama yang sebenar, maka kita akan mudah dipengaruhi,” titah baginda.

Selain itu, menurut baginda al-Quran juga merupakan sumber kekuatan umat sejagat dalam mencapai kesejahteraan dan keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Justeru, semua pihak haruslah menumpukan kepada agenda ummah yang lebih besar dan bukannya pada isu yang remeh, titah baginda.

“Apabila wujud perselisihan hendaklah diselesaikan dengan semangat persaudaraan, berlapang dada dan saling memaafkan agar kesatuan umat Islam akan terpelihara dan beroleh kejayaan,” titah baginda.

Pada majlis tilawah itu, Qari dimenangi oleh Mohd Mawardi Jamaludin dan johan Qariah ialah Norsyafirah Jusoh, masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, piala iringan, sijil penyertaan serta pakej menunaikan umrah bernilai RM5,000.

Mereka berdua akan mewakili Perlis ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Putrajaya pada 21 hingga 26 Mac ini. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori