JASIN – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilayan secara profesional oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekiranya beliau mahu mengemukakan aduan terhadap penggantungan tugasnya sebagai timbalan presiden UMNO, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ROS merupakan sebuah badan kerajaan yang ditadbir serta berjalan secara profesional dan semua individu termasuk pemimpin atau bekas pemimpin yang mengemukakan aduan akan dilayan secara profesional.
“Suatu keputusan akan ditafsirkan pendaftar pertubuhan (ROS) sendiri dan pegawainya untuk lihat kedudukan perkara sebenar terhadap hukuman oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO terhadap Muhyiddin.
“Saya ingin menjelaskan bahawa pendaftar pertubuhan tidak memihak sebarang aduan yang dibawa sama ada oleh pemimpin atau bekas pemimpin atau organisasi, semuanya dilayan dengan sebaiknya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
MT UMNO pada Jumaat lepas sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa serta merta sehingga pemilihan majlis tertinggi parti akan datang dan semalam Muhyiddin berkata beliau akan merujuk perkara tersebut kepada ROS.
Ahmad Zahid berkata ROS, yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri, tidak memihak kepada mana-mana individu atau organisasi dan sentiasa adil dalam membuat keputusan terhadap mana-mana aduan.
Sehubungan itu, beliau berkata individu atau organisasi hendaklah patuh terhadap apa-apa keputusan yang dibuat ROS terhadap sesuatu aduan.
“Penjelasan dibuat ROS berdasarkan undang-undang tubuh pertubuhan atau perlembagaan dan peraturan, maka tafsiran dimuktamad itu perlu dipatuhi sepenuhnya, pematuhan ini seharusnya diterima berlapang dada dan hati yang terbuka.
“Tentunya ROS lakukan terbaik dan adil dalam lakukan tafsiran serta membuat keputusan yang tidak dibawa ke mahkamah,” katanya.
Ditanya adakah beliau dapat menjamin keputusan diberi ROS terhadap Muhyiddin itu adil, Ahmad Zahid berkata walaupun mempunyai kuasa eksekutif sebagai Menteri Dalam Negeri, lazimnya beliau tidak akan campur tangan dalam keputusan operasi agensi di bawahnya seperti ROS.
“Lazimnya mana-mana keputusan dibuat ketua jabatan agensi KDN (Kementerian Dalam Negeri) kita beri kepercayaan sepenuhnya kepada pegawai itu membuat keputusan berdasarkan perkara termaktub dalam perlembagaan, ataupun undang-undang tubuh organisasi berdaftar,” katanya.
Mengenai RTC Sungai Rambai, Timbalan Perdana Menteri berkata RTC memainkan peranan penting dalam menterjemah usaha kerajaan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Transformasi RTC yang diilhamkan sendiri Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) merupakan transformasi luar kotak agensi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih licin kepada rakyat.
“Saya sendiri akan memantau operasi RTC Sungai Rambai yang menempatkan 33 agensi kerajaan supaya ia memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata mewujudkan RTC di bangunan projek yang diklasifikasikan sebagai ‘gajah putih’ adalah suatu usaha yang baik dan perlu dilakukan di seluruh negara.
Pembangunan RTC Sungai Rambai di bangunan Hentian dan Rawat Sungai Rambai Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah utara melibatkan kos sebanyak RM2.9 juta dan telah menarik lebih 80,000 pengunjung sejak mula dibuka 1 Dis tahun lepas. – BERNAMA