LARUT (Taiping) – UMNO perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bekerjasama dengan pembangkang untuk menandatangani deklarasi rakyat menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata tindakan bekas timbalan perdana itu bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu hanya untuk kepentingan diri sahaja.
“Muhyiddin pernah menjadi timbalan presiden UMNO serta anggota Kabinet…sepatutnya dia gunakan saluran yang betul untuk meluahkan ketidakpuasan hati dan bukan bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan perdana menteri.
“Tindakan Muhyiddin itu amat dikesali dan tidak mungkin dapat diterima oleh mana-mana ahli UMNO,” katanya Hamzah, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Sungai Dendang, di sini hari ini.
Dr Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR dalam memeterai deklarasi rakyat menyokong penyingkiran Najib.
Penandatanganan lain termasuk Muhyiddin bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.
Di KUCHING, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata deklarasi tersebut membuktikan politik terdesak di Semenanjung akibat ketandusan idea oleh pakatan pembangkang dan dendam perbadi oleh Dr Mahathir.
“Adalah menjijikkan untuk melihat PKR dan DAP kehilangan saki baki integriti politik untuk bergabung tenaga dengan seorang pemimpin yang PKR dan DAP Sarawak berulang kali mengutuk kerana mengabaikan pembangunan negeri itu.
“Adalah satu fakta yang jelas bahawa tidak ada bekas perdana menteri yang menjaga atau melakukan sumbangan besar kepada kebajikan dan pembangunan Sarawak berbanding Najib.
“BN Sarawak mengiktiraf ini dan kami berkerja berdasarkan sumbangan sebenar dan bukan kerana politik terdesak,” kata Menteri Kerjaya itu dalam kenyataan di sini.
Di KUALA LUMPUR, Anggota MT UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata tindakan Dr Mahathir itu semakin tidak rasional dan lebih bersifat peribadi serta cuba mempertikaikan sistem demokrasi negara.
“Sebagai seorang negarawan, sudah pasti Dr Mahathir mempunyai pengalaman dalam memperjuangkan UMNO, namun tindakannya duduk sebaris dengan pembangkang terutamanya DAP telah mendukacitakan sesetengah rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya keputusan Dr Mahathir keluar UMNO dengan bersekongkol bersama pembangkang juga telah mensia-siakan segala usaha para anggota UMNO yang pernah berjuang dalam parti sewaktu beliau menjadi presiden.
Irmohizam, yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor, juga kecewa dengan tindakan bekas presiden UMNO itu yang berpaling tadah sebelum perang Pilihan Raya Umum ke-14 bermula.
Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (PPUWP) menganggap gerakan deklarasi rakyat itu aalah satu kesepakatan ‘songsang’ dan ‘ibarat keluarga 69’.
Ketuanya Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata mereka seolah-olah sebuah gerakan yang begitu terdesak dan terpaksa bergantung harap kepada musuh politik utama hanya semata-mata ingin memenuhi tuntutan nafsu serakah.
Beliau menegur tindakan Muhyiddin menyertai deklarasi itu kerana ia telah tersasar dari perjuangan asal UMNO dan mencadangkan Muhyiddin keluar UMNO jika terbeban dengan desakan dan kecaman pelbagai pihak dalam parti.
Di SHAH ALAM, Badan Perhubungan UMNO Selangor menyifatkan tindakan Dr Mahathir berkerjasama dengan pembangkang itu sebagai tidak menghormati mandat yang diberikan rakyat.
Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan Dr Mahathir tidak sepatutnya berlaku kerana proses menukar perdana menteri perlu melalui Perlembagaan dan bukannya melalui demonstrasi jalanan ataupun melalui memorandum.
Badan Perhubungan UMNO Selangor akan tetap terus menyokong Najib dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menerajui saf kepimpinan negara.
“Kita juga mahu supaya semua rakyat dan ahli UMNO khasnya, bersatu dan menghormati mandat yang telah diberikan kepada perdana menteri untuk menerajui negara ini,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, Penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata gerakan tersebut perlu memberi peluang kepada pemimpin semasa yang masih mempunyai baki dua tahun mentadbir negara sebelum pilihan raya umum seterisnya.
Mereka tidak berhak untuk menyuruh Najib melepaskan jawatannya, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran ‘Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Alumni Global Home Coming 2016’, di sini hari ini.
“Ada hal-hal berkaitan yang belum selesai. Ada dua tahun lagi untuk buat ‘kerja rumah’, tidak boleh disuruh turun,” katanya yang turut menyifatkan deklarasi tersebut sebagai ‘perhimpunan politik terdesak dalam keadaan yang tidak menentu.’
Terdahulu Rais yang juga Presiden IIUM turut melancarkan Portal Alumni, Majalah REACH, Tabung Biasiswa Alumni dan Alumni Book Cafe.
Sebanyak RM600,000 sumbangan berjaya dikumpul pada majlis berkenaan sebagai membiayai aktiviti serta tabung alumni tersebut.
Di ALOR SETAR, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Johari Baharom menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpengaruh dengan agenda pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sepatutnya beliau (Dr Mahathir) sedar bahawa perjuangan parti (UMNO) untuk mempertahankan pemimpin sedia ada, mengatasi kepentingan peribadi seperti yang berlaku ketika zaman pemerintahannya.
Ketika itu ahli dan kepimpinan UMNO mempertahankan beliau (Dr Mahathir) daripada dijatuhkan oleh pakatan pembangkang sehingga kekal menerajui negara dan UMNO dalam tempoh 22 tahun,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.
Mohd Johari berkata beliau turut kecewa dengan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang turut terlibat bersama pembangkang menandatangani deklarasi itu kerana Mukhriz dilihatnya mempunyai masa depan dalam arena politik.
Mengulas mengenai deklarasi itu, beliau menyifatkan perkara yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion sudah dijelaskan sebelum ini.
Katanya isu berkenaan sengaja dipolitikkan untuk kepentingan pihak tertentu. – BERNAMA