KUALA NERUS – Empat keluarga hilang tempat berlindung selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Duyong Kecil, di sini, pagi tadi.
Kejadian pada 7.15 pagi itu nyaris mengorbankan seorang wanita warga emas bersama cucu perempuannya yang berusia dua tahun setengah.
Menurut Wan Selema Wan Nik, 70, ketika kejadian beliau bersama cucunya Amar Shahidah Wan Aidil Syukri sedang menonton televisyen sebelum terhidu bau hangit dan asap keluar dari televisyen berkenaan.
Katanya, panik dengan situasi itu Wan Selema menjerit memanggil jirannya ekoran keadaannya yang uzur dan tidak dapat berjalan.
“Ketika itu hanya saya dan cucu berada dalam rumah…terkejut bila tengok televisyen tiba-tiba berasap dan api kecil mula keluar.
Mak cik terus menjerit memanggil jiran sebelum mereka mengangkat dan menyelamat kami,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Jelasnya tidak lama selepas itu, jirannya memaklumkan rumah yang didiami bersama suami, anak dan cucunya telah terbakar keseluruhannya.
Kejadian pantas itu menyebabkan kira-kira 14 mangsa gagal menyelamatkan harta benda mereka.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Khairul Ariffin Che Ramli berkata sebaik menerima panggilan, seramai 31 pegawai dan anggota termasuk bomba sukarela dari Kuala Nerus bersama-sama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, susulan kejadian itu, dua kediaman musnah keseluruhannya manakala dua lagi sudah 50 peratus terbakar.
“Ketika tiba, api sedang marak membakar tiga rumah kayu yang berdekatan antara satu sama lain itu, namun kita berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak,” katanya.
Jelasnya punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – BERNAMA