TAHNIAH kepada Fareez, protege Hazama yang juga merupakan anak kepada pelakon Fauzi Nawawi kerana berjaya memenangi program realiti televisyen, Mentor Milenia 2016.
Fareez memberitahu, wang kemenangannya sebanyak RM100,000 itu akan digunakan untuk menyambut ulang tahun kelahirannya pada 6 Mei ini di Makkah bersama keluarga tercinta.
Dia juga memaklumkan akan membawa ibu kandungnya yang kini menetap di Kedah untuk bersama-sama menunaikan umrah nanti.
“Duit yang saya menang ini akan digunakan untuk menunaikan impian saya menyambut hari lahir di Makkah.
“Tarikh lahir saya pada 6 Mei ini dan kalau boleh saya nak bawa ibu saya ke sana, sekarang dia ada di Kedah,” katanya selepas selesai Konsert Akhir Mentor Milenia.
Walaupun ada sesetengah pihak mendakwa kemenangannya adalah kerana status ayahnya yang bergelar pelakon, Fareez menganggap itu sebagai rezeki yang sudah tertulis untuknya.
“Masa abang Hazama pilih saya sebagai protegenya, dia tak tahu pun saya anak kepada Fauzi Nawawi, dan kalau saya tidak layak, sudah tentu abang Hazama tidak akan memilih saya,” ulasnya.