BOEING berjaya menghasilkan tandas yang membasmi kuman secara automatik selepas digunakan dan menjalani proses nyahkuman menggunakan lampu ultra ungu.
Penggunaan lampu ultra ungu ini mampu membunuh 99.99% kuman yang wujud dalam tandas dan proses ini mengambil masa yang sangat singkat, sekitar 3 saat sahaja.
Tandas adalah kawasan paling kotor dalam sesebuah pesawat dan ini tidak mengejutkan kerana ia dikongsi oleh ratusan penumpang selain tidak mempunyai kuantiti air yang banyak.
Boeing mengambil tindakan menggunakan lampu ultra ungu untuk membasmi kuman kerana menurut satu kajian beberapa tahun lalu, tandas yang kotor menyebabkan penemuan zarah najis pada meja makan dan kerusi penumpang.
Selain penggunaan sistem UV, pili air, pam tandas dan semua alatan di dalam tandas Boeing akan menggunakan sistem imbasan. Penumpang tidak perlu menggunakan tangan untuk menggunakan kesemua alat di dalam tandas.
Walaubagaimanapun, tandas basmi kuman ini masih dalam peringkat prototaip dan ia adalah antara ciptaan baru yang menjadi finalis pertandingan Crystal Award 2016. – MYNEWSHUB.CC