KUALA LUMPUR – DAP tidak pernah berhasrat untuk menjatuhkan UMNO melalui ‘deklarasi rakyat’, dakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang digugurkan daripada jawatan Kabinet pada tahun lalu mendakwa, DAP menandatangani deklarasi itu pada 4 Mac 2016 konon untuk menentang kemungkaran.
“Agak malang mereka menggunakan kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam upacara itu untuk menggambarkan seolah-olah ‘deklarasi rakyat’ agenda DAP untuk menghancurkan UMNO.
“Tuduhan ini sama sekali tidak benar. Hakikatnya ‘deklarasi rakyat’ adalah perjuangan rakyat merentasi ideologi politik, kaum dan agama untuk menentang kemungkaran,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Namun, kenyataan Muhyiddin bagi mempertahankan parti DAP itu bercanggah dengan kenyataan rasmi pemimpin utama parti pembangkang sejurus ‘deklarasi rakyat’ itu ditandatangi mereka.
Penasihat DAP, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dalam satu kenyataan bersama semalam jelas memanipulasi deklarasi itu untuk memburuk-burukkan UMNO.
Ketiga-tiga mereka mendakwa `deklarasi rakyat’ yang turut ditandatangani Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu merupakan pengakuan Muhyiddin dan Mahathir bahawa institusi kerajaan telah dirosakkan oleh UMNO.
“`Deklarasi rakyat’ yang ditandatangani Mahathir, Muhyiddin adalah pengakuan tokoh-tokoh pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) sendiri bahawa institusi-institusi kerajaan telah dirosakkan oleh pentadbiran UMNO/BN,” dakwa mereka.
Sementara itu, Muhyiddin dalam kenyataannya hari ini tiba-tiba mengiktiraf Kit Siang dan beberapa pemimpin pembangkang lain seperti Mohamad Sabu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Husam Musa sebagai tokoh.
Selain itu, beliau mempersoalkan mengapa tindakannya bekerjasama dengan DAP dan pemimpin parti Pakatan Harapan lain dipertikai sedangkan tindakan Najib duduk sepentas dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihalalkan.
“Jika Najib boleh duduk sepentas dengan Presiden PAS atas nama kerjasama politik, mengapa pula Mahathir, saya dan Mukhriz tidak boleh duduk semeja dengan tokoh-tokoh terbabit,” kata Muhyiddin.
Beliau turut menyelar pihak yang menegaskan seorang Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan kecuali menerusi pilihan raya kerana negara ini mendokong sistem demokrasi.
“Reformasi institusi secara total perlu dilaksanakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan amanah. Jangan tunggu sampai pilihan raya,” katanya.
Mynewshub.cc pada 14 Februari lalu pernah melaporkan pengumuman DAP bahawa parti itu akan mengadakan kerjasama dengan Muhyiddin dan pasukannya bagi menjatuhkan Perdana Menteri.
Kit Siang waktu itu berkata, pada dasarnya terdapat tiga subjek yang menjadi persamaan diantara Muhyiddin dan UMNO Johor dengan DAP untuk menyerang Najib waktu ini iaitu dalam isu derma politik, 1MDB dan SRC International.
“Rekrut terkini untuk agenda (jatuhkan Najib) tidak lain iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin) kerana mesejnya di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Pagoh bahawa perlu segera menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara yang gagal.
“Dengan tiga subjek itu, Pakatan Harapan [DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN)] akan mengadakan kerjasama dengan Muhyiddin dan UMNO Johor,†kata Kit Siang.
Organ DAP iaitu Roketkini.com semalam turut menyiarkan gambar Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berjalan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin pembangkang lain.
Dalam gambar lain, bekas pemimpin nombor UMNO itu dilihat berkongsi masa santai dengan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. – mynewshub.cc