SYDNEY – Seorang wanita yang terperangkap dalam kebakaran di pangsapuri kediamannya terpaksa mencampakkan dua anaknya termasuk seorang yang baru dua hari dilahirkan yang kemudiannya disambut orang ramai di bawah.
Konstabel Kanan Jamie Wallace berkata, kedua-dua kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan sama ada disebabkan kebakaran atau dijatuhkan dari ketinggian enam meter pada malam Khamis.
Superintenden Bomba dan Penyelamat, Adam Dewberry, berkata wanita berusia 27 tahun itu diselamatkan menerusi tingkap oleh anggota menggunakan tangga dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat terhidu asap dan luka.
Maklumat mengenai cara kanak-kanak itu diselamatkan sebelum ketibaan pasukan kecemasan tidak lengkap.
Dewberry berkata, bayi lelaki itu disambut orang ramai yang memegang cadar di atas tilam yang berselerak.
Beliau tidak pasti bagaimana bayi berkenaan disambut. – AP