KUALA LUMPUR – Polis memburu dua kumpulan terbabit dalam beberapa kejadian samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Sentul, dekat sini, sejak Januari.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata kumpulan pertama terdiri dari tujuh lelaki dan seorang wanita yang disyaki menyamun kedai serbaneka KK Mart di Taman Kok Lian, Sentul pada 5.20 pagi, Jumaat lepas.
“Mereka memukul dua pekerja menggunakan topi keledar, kerusi plastik dengan empat botol minuman keras,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Sebelum kejadian itu, seorang suspek dikatakan tidak berpuas hati apabila dituduh mencuri barang oleh seorang pengawal keselamatan, kata Munusamy.
“Akibat tidak berpuas hati, suspek kembali ke kedai itu bersama-sama tujuh rakan yang lain…lima daripadanya memukul dua pekerja hingga cedera di kepala manakala seorang suspek mencuri wang dalam mesin tunai sebanyak RM657,” katanya.
Munusamy berkata kumpulan kedua, terdiri dari tiga lelaki yang menyamun kedai serbaneka 7-Eleven di batu 5 Jalan Ipoh pada 16 Feb lepas menyebabkan kerugian sebanyak RM1,300.
Dalam kejadian pada 4.50 pagi itu, suspek merampas beberapa karton rokok serta makanan, katanya.
“Kumpulan ini disyaki terlibat sekurang-kurangya empat kes samun kedai serbaneka di Sentul,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan polis Sentul di talian 03-40482222. – BERNAMA