PERTANDINGAN akhir ‘Infinite Talent with Love & Laughter’ berlangsung meriah dengan penyertaan 30 peserta cilik berusia dari empat hingga 12 tahun.
Pertandingan nyanyian anjuran tadika UC Kindies dengan kerjasama The Singing Shop dan Neway Karaoke Box itu diadakan di pusat beli belah Quill City Mall, Kuala Lumpur, semalam.
Walaupun masih kecil namun kekuatan vokal peserta tidak boleh dipandang ringan kerana kebanyakannya mampu membawakan lagu-lagu popular nyanyian artis antarabangsa yang pastinya cukup sukar dinyanyikan oleh orang dewasa sendiri.
Antara seleksi lagu yang menjadi pilihan finalis ialah ‘Hello’ nyanyian Adele, ‘Sesal Separuh Nyawa’ (Alyah), ‘Lips Are Movin’ (Megan Trainor), ‘Ku Relakan Jiwa’ (Hazama) dan ‘Let It Go’ (Idina Menzel).
Pertandingan diadili oleh Pengurus Besar The Singing Shop, Lourdes yang menilai tahap vokal serta persembahan peserta yang rata-ratanya mengenakan kostum menarik dan sesuai dengan tema lagu pilihan masing-masing.
Daripada 30 peserta, 10 daripadanya meraih gelaran ‘Top 10 UC Idol’ sekali gus membawa pulang piala iaitu Tanisha Manoharan, Marilyn Patrick, Fariz Iskandar, Shirlin Khor, Annika Sophie, Daryl Ho Jia Yi dan Tan Jia Yi.
20 finalis lagi tidak pulang dengan tangan kosong apabila mereka turut diberikan hadiah sagu hati sumbangan penganjur.
Majlis penyerahan hadiah dan sijil disampaikan oleh Penaung UC Kindies, Prof Dr. Dino Wong dan Lourdes.
Acara tahunan yang dianjurkan pihak pengurusan prasekolah sebegini dapat mencungkil bakat nyanyian terpendam si cilik, selain membina tahap keyakinan mereka untuk membuat persembahan di hadapan penonton yang ramai. – MYNEWSHUB.CC