PADANG BESAR – Kesedaran tinggi perlu dipupuk dalam kalangan orang ramai akan bahaya api kecil yang berupaya marak serta merebak lebih besar dalam sekelip mata.
Selain itu, penting untuk orang awam mempertingkat pengetahuan tentang bagaimana untuk berhadapan situasi sekiranya kejadian kebakaran berlaku di depan mata atau jika terpaksa mengalaminya sendiri.
Justeru itu, orang ramai dinasihati supaya tidak sesekali memandang remeh akan kepentingan medium pemadaman api serta tindakan asas yang perlu diambil bagi mengawal kebakaran.
Timbalan Pengarah Penguasa Kanan Bomba Perlis, Mohd Salahuddin Isa menyarankan agar orang ramai memiliki sekurang-kurangnya satu alat pemadam api di rumah atau premis masing-masing.
Beliau berkata penggunaan alat pemadam api itu adalah yang paling mudah dan berkesan untuk mengawal api kecil daripada terus marak serta senang untuk dikendalikan.
TINDAKAN APABILA KEBAKARAN
Mohd Salahuddin berkata alat itu penting kerana pengetahuan orang ramai tentang langkah asas yang harus dilakukan apabila berlaku kebakaran masih di tahap rendah.
“Setiap kali berlaku kebakaran, pihak bomba mendapati orang ramai tidak tahu apakah tindakan awal yang perlu diambil bagi mengelakkan kebakaran menjadi lebih teruk,” katanya selepas merasmikan penutupan Kursus Keselamatan Kebakaran dan Kerjaya Jabatan Bomba Bersama Media serta Pelancaran Bomba Komuniti di sini, baru-baru ini.
Orang ramai perlu sedar mengapa tindakan pantas perlu dalam mengawal api atau mendapatkan bantuan penyelamat supaya sesuatu kebakaran kecil itu tidak menjadi lebih besar sehingga melibatkan lebih ramai mangsa dan kerugian besar.
“Perlu diingat bahawa kebakaran kecil yang tidak dikawal akan marak dalam beberapa saat sahaja, maka jangan hanya melihat tanpa bertindak sementara menunggu anggota bomba tiba.
“Pada masa sama bertenang dan jangan panik. Ada yang terlalu buntu sehingga lupa menghubungi bomba, malah ada juga yang langsung tidak menyimpan nombor balai bomba berhampiran,” katanya.
STIGMA API DAN AIR
Lebih merbahaya apabila orang ramai terikat dengan stigma ‘Api dan Air’ di mana apabila terjadi kebakaran umum hanya mengetahui api itu boleh dipadamkan dengan air, katanya.
Beliau berkata persepsi ini tidak tepat sama sekali, sebaliknya perlu dilihat terlebih dahulu apakah punca kebakaran itu terjadi sama ada ia melibatkan minyak, bahan pepejal atau gas.
“Jika puncanya adalah minyak, tindakan memadam menggunakan air hanya akan merumitkan keadaan kerana ia akan merangsang api yang lebih besar, dan ini yang kerap berlaku.
“Selain itu, kebakaran boleh ditutup dengan kain supaya dapat menghalang kehadiran oksigen yang merangsang kebakaran,” katanya.
Jika orang ramai menitikberat pengetahuan asas ini, mungkin keadaan tidak menjadi lebih parah dan kadar kebakaran juga dapat dikawal. Sebab itu juga disyorkan alat pemadam api turut disediakan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, katanya.
ELAK PEMBAKARAN KETIKA MUSIM PANAS
Mohd Salahuddin turut mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka sepanjang musim panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini.
“Kebakaran lebih mudah berlaku ketika ini, jika terpaksa juga melakukan pembakaran ianya hendaklah sentiasa dipantau dan ambil langkah keselamatan awal serta pastikan pembakaran di tempat yang selamat,” katanya.
Perlis mencatatkan 187 kes kebakaran sejak awal 2016.
“Bagi tempoh sehingga 17 Feb, 85 kes kebakaran dilaporkan dengan nilai purata lima kes sehari serta melibatkan sebanyak RM546,825 jumlah kerugian dan RM399,900 jumlah berjaya diselamatkan,” katanya.
Secara keseluruhan jumlah kebakaran di kebanyakan kawasan di Malaysia akan bertambah ketika musim panas, tambahnya.
BOMBA KOMUNITI
Beliau berkata penubuhan Bomba Komuniti adalah langkah proaktif dalam membantu peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis bagi mengatasi hal ini kerana dapat memupuk keprihatinan masyarakat setempat tentang amalan pencegahan kebakaran.
“Pasukan ini lebih rapat dan kerap berdamping dengan masyarakat melalui pengedaran risalah, khidmat nasihat kepada masyarakat setempat dan menjadi medium pengetahuan asas mengendalikan kebakaran,” katanya.
Di Perlis, JBPM komited memastikan agar matlamat penubuhan Bomba Komuniti dapat berfungsi secara optimum dan sehingga kini terdapat 36 pasukan di seluruh negeri termasuk penyertaan oleh Kelab Media Perlis sebagai anggota Bomba Komuniti yang baharu, tambahnya.
“Penyertaan juga amat digalakkan bagi setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau mana-mana organisasi bagi menyertai Bomba Komuniti dan mengikuti kursus asas kebombaan,” katanya.
Bomba Komuniti yang dilancarkan pada 2014 adalah inisiatif JBPM dalam meningkatkan tahap kesedaran kes kebakaran dalam kalangan masyarakat. – BERNAMA