KUALA LUMPUR – Usahawan Tan Sri Azman Hashim mengumumkan sumbangan dana RM30 Juta kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pengasas Yayasan Azman Hashim yang juga pengerusi dan pemilik Kumpulan Ambank itu, menandatangani perjanjian penubuhan Tabung Biasiswa Endowmen Azman Hashim, dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Seminar, Menara Razak, UTM, di sini hari ini.
Tujuan utama sumbangan endowmen tersebut adalah memberi biasiswa kepada pelajar UTM di peringkat Sarjana Muda yang kurang berkemampuan selain pelajar yang cemerlang dalam pengajian.
Azman dalam ucapannya, menegaskan kepentingan pendidikan kepada pembangunan negara. Beliau berharap dana endowmen itu membuka peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pelajaran.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Halim Ali; Ahli Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Ramli Khushairi; Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Azlan Ab. Rahman dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Amcorp Group Berhad, Shalina Azman.
Dr. Wahid turut mengumumkan, UTM akan menamakan semula UTM International Business School kepada Azman Hashim International Business School sebagai tanda penghargaan buat dermawan berkenaan.
Turut diumumkan, dewan utama UTM di Kampus Kuala Lumpur dan stadium UTM di Kampus Induk Skudai, Johor akan dinamakan Dewan Utama Azman Hashim dan Stadium Azman Hashim.
Selain RM30 juta endowmen kepada UTM, Yayasan Azman Hashim telah banyak menyumbang kepada pelbagai projek kebajikan dan pendidikan di Malaysia. – MYNEWSHUB.CC