ASALNYA Kugan Tangiisuran adalah seorang budak pejabat yang bekerja di syarikat penerbangan Air Asia sebelum diangkat menjadi seorang juruterbang di syarikat penerbangan yang sama.
Kugan memang menyimpan hasrat menjadi juruterbang dan sambil menjalankan tugasnya sebagai budak pejabat, dia juga menghadiri kelas tambahan semata-mata untuk menjadi seorang juruterbang.
Walau bagaimanapun, Kugan telah gagal sebanyak 11 kali dan CEO Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes sendiri juga sedia maklum akan cita-citanya.
Tetapi, Tony tidak pula membantu Kugan walaupun dia mempunyai kuasa untuk memasukkan Kugan ke mana-mana sekolah penerbangan.
Tony mahu melihat sejauh mana keinginan Kugan dan dia mahu Kugan untuk terus berusaha agar dipilih menjadi sebagai pelatih juruterbang.
Setelah bersusah payah dan usaha, Kugan akhirnya berjaya dan dia telah diterima untuk menjadi pelatih dan Tony sendiri telah mengesahkan perkara itu.
Kugan kini telah menerbangkan pesawat Airbus milik syarikat berkenaan membawa ribuan penumpang hingga ke destinasi yang dituju. – MYNEWSHUB.CC