GERAI nasi lemak superhero ‘Spiderman’ di bandar Kota Bharu, Kelantan yang menjadi tumpuan orang ramai sehingga viral sejak beberapa bulan lalu bertukar malang apabila gerainya dirampas Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) hari ini.
Menerusi perkongsian gambar yang dimuat naik di laman Facebook University of Life, dilaporkan dalam kejadian pagi tadi itu, MPKB bukan sahaja merampas gerai dan kelengkapan Zawawi Ghazali, 29, malah ‘Spiderman’ itu turut dihalau dan tidak lagi dibenarkan berniaga di kawasan terbabit.
Menurut sumber, gerai Zawawi terpaksa ‘diangkat’ mungkin kerana watak adiwira itu berasal dari Barat, selain dari aspek berpakaian ketat.
Lantas perkara tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen berkenaan ‘tertewasnya’ adiwira tersebut.
“Nasib ‘Spiderman’ yang jual nasi lemak akhirnya tewas di tangan MPKB. Mungkin kerana ‘Spiderman’ itu watak Kristian dan lagipun ini (Kota Bharu) Serambi Mekah bro. Kalau ‘Cicakman’ mungkin boleh kot jual nasi lemak,” kata Zamay.
Sementara itu netizen melahirkan rasa kesal mereka terhadap tingakan anggota MPKB itu. Namun, tidak kurang juga yang menasihatkan agar Spiderman memohon lesen berniaga jika benar gerainya ‘diangkat’ kerana tiada lesen.
Dalam respon terkini Zawawi, beliau menafikan dakwaan laman Facebook berkenaan.
“Alhamdulillah, sepanjang penjelajahan ‘Abe Spider’ dari daerah ke daerah untuk berniaga, tidak pernah pun Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah angkut meja ‘Abe Spider’. Malah mereka menyokong usaha Abe Spider.”
Zawawi yang tinggal di Kampung Kemubu, Ketereh mula menjual nasi lemak tersebut pada pukul 8 pagi setiap hari dengan menggerakkan gerainya di beberapa lokasi di sekitar bandar Kota Bharu. -MYNEWSHUB.CC