PUTRAJAYA – Usahawan dan pengunjung pasar belian terus hasil pertanian, MyFarm Outlet Kasih di Presint 7 di sini, dikejutkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini yang meninjau operasi pasar itu.
Beliau yang tiba pada pukul 6 petang meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dengan pengunjung serta 29 usahawan di pasar berkenaan.
Ketika melakukan tinjauan ke pasar yang dibuka secara rasmi pada 1 Mac lepas itu, Najib turut membeli barangan keperluan iaitu dua ekor ayam kampung dan madu.
Perdana Menteri kemudiannya mendengar taklimat mengenai operasi pasar itu sambil minum petang menikmati juadah yang dijual di gerai-gerai makanan di pasar itu antaranya sate, kuih muih dan minuman Kopie Satu.
Najib berkata 10 lagi MyFarm Outlet akan dibuka menjelang November tahun ini di seluruh negara dalam usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti yang diumumkan beliau dalam Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan lepas.
Katanya konsep MyFarm Outlet mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna berikutan barangan segar dan murah yang ditawarkan selain menyediakan akses kepada pasaran yang lebih luas untuk usahawan.
“Saya difahamkan jualan keseluruhan boleh mencecah sehingga RM120,000 sehari,” katanya selepas lawatan itu.
Turut serta dalam tinjauan itu Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail.
Pasar yang dikendalikan oleh FAMA itu menawarkan barangan keperluan dengan harga lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran bagi memberi pilihan kepada pengguna.
Dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, MyFarm Outlet memasarkan tujuh kumpulan barangan keperluan utama iaitu ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan hasil industri asas tani dan barangan sejuk beku. – BERNAMA