MARANG – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sepatutnya memberi penjelasan berhubung isu pembelian rumah jenis banglo di Parlimen, Isnin ini dan bukannya bersemuka dengan anggota Parlimen Tasek Gelugur, Datuk Shabuddin Yahaya di Komtar, Ahad ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Guan Eng wajar membuat penjelasan secara ‘gentleman’ di Parlimen kerana minggu depan akan bermulanya penggulungan di mana beliau boleh mencelah dengan memberi penjelasan berhubung pembelian rumah berkenaan yang jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.
“Saya hairan kenapa Lim mahu mencabar Shabuddin pada Ahad ini, yang sepatutnya beliau patut memberi penjelasan di Parlimen yang akan bersidang Isnin ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO cawangan-cawangan Bahagian Marang di sini hari ini.
Katanya isu itu timbul berikutan tindakan Shabuddin mengemukakan soalan itu ketika perbahasan titah diraja kepada tiga Kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan (Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Pada hari itu (Isnin), ada menteri-menteri yang akan melakukan penggulungan dan Lim boleh mencelah untuk membuat pengakuan dan penjelasan. Jadi saya nampak untuk mencabar Shabuddin tampil bersemuka di Komtar, Ahad ini adalah satu tindakan sama sekali takut pada bayang-bayang sendiri,” katanya. – BERNAMA