KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan bom di Lahore, Pakistan, semalam.
“Pembunuhan secara pengecut di Lahore ini adalah satu lagi peringatan tentang pentingnya untuk memerangi keganasan. Malaysia menzahirkan doa dan ingatan kepada saudara kami di Pakistan,” kata Najib menerusi akaun Twitter rasmi beliau hari ini.
Sekurang-kurangnya 69 orang, termasuk sejumlah besar wanita dan kanak-kanak, terkorban manakala lebih 300 orang lagi cedera apabila pengebom bunuh diri menyerang taman awam di bandar Lahore, timur Pakistan, pada Ahad petang, menurut agensi berita China, Xinhua, yang memetik para pegawai sebagai berkata.
Menurut Xinhua, serpihan kumpulan Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. – BERNAMA