Syamsul Yusof satu nama yang tidak asing lagi dalam industri filem tempatan. Selaku pengarah beliau sering menampilkan sesuatu yang baru dan unik dalam naskah yang dipersembahkan.
Terbaharu filem Munafik arahannya yang diterbitkan Skop Production Sdn Bhd dan ditayangkan bermula 25 Februari lalu mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat Malaysia apabila meraih kutipan RM2.3 juta dalam masa 4 hari ditayangkan.
Seperti Khurafat, Munafik yang mengetengahkan genre seram mendapat pujian positif dari penonton dan peminat serta pengkritik filem kerana sarat dengan unsur-unsur keagamaan dan pada masa sama, penuh dengan kejutan.
Filem yang ditulis, diarah dan dilakonkan sendiri oleh Syamsul ini turut dijayakan pelakon hebat lain seperti Nabila Huda dan Pekin Ibrahim. Ia ditayangkan di 112 buah pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.
Munafik mengisahkan tentang Adam lakonan Syamsul sendiri, seorang pengamal perubatan Islam yang tidak dapat menerima takdir apabila isterinya meninggal dunia.
Bagaimanapun dia mengalami pelbagai pengalaman aneh setelah dipujuk mengubati seorang wanita bernama Maria, watak yang dipegang oleh Nabila Huda yang mengalami gangguan syaitan. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=tLCIHiIYiLY]