GEORGE TOWN – Empat nelayan rakyat Indonesia ditahan di 36.3 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini semalam ketika menangkap ikan secara haram di perairan negara.
Pengarah Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kamaruszaman Abu Hassan berkata seorang tekong dan tiga awak-awak berusia antara 34 dan 41 tahun itu ditahan pada 1.10 tengah hari.
Beliau berkata kesemua mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“APMM turut merampas bot dan beberapa peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan seberat 200 kilogram,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata APMM akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang di laut terutama di kawasan sempadan perairan negara bagi mengelakkan aktiviti pencerobohan terus berleluasa. – BERNAMA