KAJIAN yang dijalankan Kementerian Kesihatan mendapati sebanyak sembilan daripada 10 orang dewasa di Malaysia dan 75 peratus pelajar sekolah menghidap penyakit karies gigi.
Dalam kajian itu juga menunjukkan sembilan peratus daripada kanak-kanak terpaksa tidak hadir ke sekolah gara-gara sakit gigi.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, menyedari permasalahan itu, pihaknya menyeru semua orang agar menjaga kesihatan gigi masing-masing seperti mengurangkan pengambilan gula, menggunakan ubat gigi berflourida dan membersihkan mulut dengan bahan kumur selepas menggosok gigi.
“Sebanyak tujuh peratus orang dewasa di Malaysia telah kehilangan gigi semulajadi mereka, malah penyakit gigi ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia boleh menganggu kualiti hidup seharian seperti keyakinan diri, interaksi sosial dan juga sakit ketika ingin mengunyah makanan.
“Oleh itu saya menyerus badan kerajaan, persatuan berkaitan dan kumpulan sokongan memainkan peranan dalam mencari langkah pencegahan, mengenal pasti dan rawatan bagi setiap penyakit yang melibatkan masalah kesihatan gigi dan mulut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia, IOI City Mall, Putrajaya, hari ini.
Hari Kesihatan Pergigian Sedunia yang disambut pada 20 Mac setiap tahun menggunakan tema, ‘Segalanya bermula di sini, Kesihatan gigi yang baik melahirkan tubuh badan yang baik’ untuk tema sambutan tahun ini. – MYNEWSHUB.CC