GEORGE TOWN – Sembilan nelayan Indonesia bersama dua bot ditahan kerana menangkap ikan tanpa kebenaran di zon perikanan Malaysia di 48.1 dan 39.5 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 2 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Komander Maritim Azman Samsudin berkata kesemua nelayan berusia antara 13 dan 42 tahun itu ditahan pada pukul 11 pagi ketika sedang menangkap ikan di kawasan itu.
“Seorang tekong dan empat awak-awak ditahan hasil pemeriksaan ke atas bot pertama manakala empat nelayan termasuk tekong ditahan dalam sebuah lagi bot. Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua bot nelayan itu dari Pengkalan Brandan dan Pantai Labu, Indonesia dan berdasarkan siasatan mereka yang mengambil masa lebih 10 jam untuk sampai ke perairan Malaysia, telah berada di laut sejak tiga hari lepas.
Kedua-dua bot masing-masing bersama hasil tangkapan seberat 250 kilogram dan 80 kilogram itu dirampas dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk siasatan lanjut.
“Pihak APMM turut merampas semua peralatan menangkap ikan yang digunakan mereka dan semua hasil tangkapan bernilai RM2,600 itu dilelong,” katanya.
Azman berkata kawasan perairan barat daya Pulau Kendi kerap menjadi tumpuan bot nelayan Indonesia kerana mempunyai hasil laut terutama ikan yang banyak dan pada tahun ini sahaja sebanyak 10 bot nelayan ditahan APMM Pulau Pinang di situ.
Sementara itu, seorang daripada nelayan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Budi, 42, berkata turut ditahan ialah anak lelakinya berusia 17 tahun dan bot mereka memasuki perairan Malaysia kerana mahu mendapatkan lebih banyak hasil tangkapan.
“Selain ikan yang banyak, laut di sini (Malaysia) lebih selamat berbanding di Indonesia kerana tiada ancaman lanun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jeti Limbungan Batu Maung, di sini. – BERNAMA