KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah perkembangan ancaman militan dan anasir keganasan yang mula menular di negara ini perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjerumuskan negara dalam kancah ketidakstabilan.
Titah Seri Paduka ancaman keselamatan yang menggugat kesejahteraan negara itu adalah nyata dan perlu ditangani segera.
“Sehubungan itu, Beta menyokong tindakan proaktif melalui pewujudan undang-undang serta mempertingkatkan aset-aset keselamatan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi militan,” titah Seri Paduka pada perasmian Mesyuarat Pertama, Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Seri Paduka bertitah, penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan antara bukti komitmen kerajaan untuk menambah baik infrastruktur, aset dan keperluan keselamatan di sempadan, serta memperkasa kawalan agensi keselamatan di perbatasan negara.
Penyertaan Malaysia dalam penempatan Pusat Serantau Pintas Mesej bagi memerangi keganasan dan jenayah rentas sempadan serta mempertingkatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia mendapat pengiktirafan antarabangsa dan membantu memperbaiki kedudukan negara dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai isu pemerdagangan manusia.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan anggota-anggota Parlimen.
Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan rakyat agar sentiasa memelihara keharmonian dan kerukunan hidup bermasyarakat dan cubaan segelintir pihak memainkan sentimen perkauman serta menyalahgunakan media sosial bagi menyebarkan kandungan berbaur hasutan, fitnah dan fahaman ekstremis perlu dikekang dan ditangani agensi berkaitan dengan segera.
Titah baginda kelewatan bertindak berhubung isu-isu yang melibatkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum boleh menyebabkan konflik dan perbalahan yang lebih besar.
Kepada semua pemimpin politik di negara ini, Seri Paduka bertitah menasihati mereka supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia telah berlarutan sekian sehingga membebankan rakyat dan kerajaan.
Baginda bertitah pemimpin-pemimpin politik seharusnya memberi contoh teladan yang baik kepada rakyat dan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Baginda turut menyeru semua pihak untuk meraikan ruang dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan dengan berhemah walaupun berbeza pandangan dan bukannya saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang boleh menjerumuskan negara kepada kehancuran.
“Beta menyeru ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat keseluruhannya supaya bersatu serta sayangilah negara ini dengan sentiasa menumpah taat setia yang tidak berbelah bahagi, mempertahan dan melindunginya.
“Elakkan juga daripada memburuk-burukkan negara di mata masyarakat antarabangsa,” titah Seri Paduka.
Dalam pada itu, Baginda mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah, disegerakan.
“Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan dan konflik dalam masyarakat.
“Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini,” titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim turut menyentuh perkembangan sukan negara di mana Seri Paduka menzahirkan harapan penyertaan kontinjen negara di temasya Sukan Olimpik 2016 di Brazil akan melakar sejarah dengan memenangi pingat pertama buat negara.
Mengenai bidang pendidikan, Seri Paduka menyeru supaya usaha-usaha diteruskan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara agar setanding dengan sistem pendidikan terbaik dunia.
Titah Baginda, minat dan kecenderungan pelajar untuk terus meminati bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu terus dipupuk bagi memastikan pembangunan modal insan tidak terencat dalam usaha mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi berimpak tinggi negara.
“Dalam memacu ke arah negara maju berpendapatan tinggi, Malaysia tiada pilihan selain menjadikan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai asas pembangunan ekonomi baru selaras dengan pelan induk STI negara yang akan digubal,” titah Seri Paduka. – BERNAMA