LAZIMNYA dalam sains politik, apa-apa perbuatan waima tidak sengaja atau mungkin dibuat secara jenaka akan ditafsir dengan maksud tersirat daripada tersurat hinggakan ada kala ia lebih digemari daripada kisah sebenarnya.
Begitulah juga dalam kes Deklarasi Rakyat yang cetus kejutan terbesar ramai penganalisis politik tanah air Jumaat lalu setelah ia dilihat dari sudut lawak kelakar apabila melibatkan negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Ceritanya bukanlah kerana ia mula ditandatangani bekas perdana menteri itu sebaliknya ketidakhadiran wakil musuh ketat beliau – Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Sehari sebelum Mahathir muncul di Rumah Kelab PAUM di ibu negara, anak Anwar itu beri amaran kerjasama dengan bekas presiden UMNO tersebut bukan untuk ‘hapus’ dosa-dosa lampau 22 tahun memerintah Malaysia.
Atau cakap mudah, pemimpin PKR itu masih berdendam dengan Mahathir yang bertanggungjawab ‘sumbat’ ayahnya ke dalam jel akibat kes liwat pertama pada 1999 dan berterusan kepada kes liwat kedua pula tahun lalu.
Rupa-rupanya dendam Anwar Ibrahim terhadap Mahathir belum lagi hilang walaupun mereka kongsi matlamat yang sama iaitu untuk gulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menerajui negara dan parti pemerintah.
Maka ketiadaan Wan Azizah di sebalik kehadiran pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAN, Mohamad Sabu mengundang banyak persoalan yang cuba ‘disorok’ oleh semua portal berita dan blog propembangkang.
PKR sebaliknya diwakili timbalannya, Azmin Ali yang memang diketahui tidak ‘sekepala’ dengan Wan Azizah sejak sebelum Langkah Kajang pada 2013 selain seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua yang dianggap oportunis situasi.
Bayangkan jika Wan Azizah dan Nurul Izzah muncul di situ malah bergambar dengan Mahathir, maka impaknya pasti lebih besar meskipun akan dilabel inilah contoh terbaik teori Machiavelli – matlamat menghalalkan cara!
Sekiranya berlaku, nampak sangatlah Mahathir, Wan Azizah dan Nurul Izzah betul-betul dianggap terdesak tahap kronik untuk misi menjatuhkan Najib sehingga terpaksa mengenepikan maruah diri ‘jilat balik ludah di langit’.
Malangnya dua anak-beranak itu tidak hadir dan menyelamatkan ‘air muka’ Mahathir, tetapi pada masa sama beri mesej jelas, Anwar masih berdendam dengan bekas bosnya itu yang disifatkan ‘firaun, diktator dan mahazalim’.
Jelaslah di sini keluarga Anwar masih punya prinsip harga diri tinggi iaitu tidak memaafkan dosa-dosa fitnah jahat Mahathir terhadap dirinya, sekali pun sanggup bersekongkol dalam konteks sebagai kumpulan siasah anti-Najib.
Lebih lucu, sehari sebelum majlis tandatangan Deklarasi Rakyat itu berlangsung, tersebar satu surat pekeliling Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli konon Mahathir akan buat sidang akhbar mengenai fitnah terhadap Anwar.
Dicanangnya ke seluruh alam bahawa Mahathir akan mohon maaf terhadap Anwar atas kesilapan lampau yang menjadi asas kenapa Nurul Izzah ‘berani’ keluarkan kenyataan dia sekeluarga tidak memaafkan dosa Mahathir.
Penyebaran memo PKR itu yang kemudian dinafikan ibu pejabat PKR sendiri menunjukkan Anwar berjaya perguna Mahathir sebagai batu loncatan untuk capai cita-cita peribadi – tumbangkan Najib waima apa cara pun.
Malang sungguh Mahathir yang licik berpolitik akhirnya ‘dikencing’ Anwar apabila Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak hadir pada majlis deklarasi itu, malah Mahathir dikutuk pula sebagai ‘orang tua nyanyuk tidak sedar diri’.
Ironi, jentera maya propembangkang yang mungkin mahu ‘membersihkan’ imej Mahathir sampai tergamak pula menyenaraikan nama Nurul Izzah sebagai konon antara 58 individu yang menandatangani Deklarasi Rakyat itu.
Tidak ketinggalan beberapa nama profil tinggi dinyatakan surat palsu Rafizi itu antaranya konon Tan Sri Zaman Khan, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Shamsuri Arshad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Di sini sahaja sudah membuktikan jentera siber propembangkang sudah sampai ke peringkat buat cerita epik bagi memastikan rakyat terpesona aura Mahathir selepas mendapati respons awal berita deklarasi itu sebagai negatif.
Tanpa sedar, mereka menyebabkan rakyat khasnya umat Melayu Islam menyedari ada sesuatu tidak kena dengan Deklarasi Rakyat konon bertemakan Selamatkan Malaysia tetapi berubah kepada Selamatkan Mahathir pula!
Lebih teruk, majlis tandatangan deklarasi itu menyerlahkan ‘gaya’ politik Anwar mengeksploitasi keadaan gawat dengan berjaya menjadikan Mahathir sebagai bahan kempen secara tidak langsung. – Mynewshub.cc/HAA