SEORANG bekas tahanan Khmer Rouge tidak dapat melupakan bagaimana dia dipaksa menyaksikan seorang wanita dibunuh dan kemudiannya hati wanita itu dikeluarkan serta dimasak di depan ramai.
Meu Peou menceritakan pengalaman menakutkan itu ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan ke atas Nuon Chea, 89, dan bekas diktator rejim Kemboja, Khieu Samphan, 84.
Perbicaraan terhadap bekas pemimpin negara kecil Asia tenggara berkenaan adalah memfokus kepada pembunuhan beramai-ramai etnik Vietnam dan minoriti Islam termasuk bangsa Cham.
Menurut Meu Peou, ketika pernah ditahan di pusat tersebut, dia masih lagi kanak-kanak dan ditangkap kerana dituduh mengkhianati rejim itu dengan mencuri beras.
Ketika di kem tahanan itulah dia menyaksikan kekejaman Khmer Rouge.
“Wanita itu diminta menanggalkan baju dan badannya dihiris. Darah di merata-rata tempat… hatinya dikeluarkan dan dimasak,’’ katanya.
Meu Peou berkata, dia kehilangan 17 anggota keluarga di tangan rejim terbabit dan bapanya pula mati kebuluran selepas dia enggan makan babi.
“Saya terpaksa memaksa diri makan babi untuk hidup,’’ katanya yang menambah orang Islam sering kali dipaksa keluar dari kampung itu.
Nuon Chea dan Khieu Samphan telahpun dihukum penjara seumur hidup atas tuduhan lain.
Askar-askar rejim berkenaan turut digambarkan oleh saksi lain sebagai kanibal, termasuk makan hempedu manusia serta membunuh tahanan selepas menjemur mereka di tengah panas.
Dianggarkan dua juta penduduk Kemboja terkorban ketika Khmer Rouge memerintah dari 1975 hingga 1979, dengan 100,000 ke 500,000 adalah penduduk Islam dan 20,000 orang Vietnam.