BRUSSELS – Belgium melancarkan usaha memburu besar-besaran selepas siri letupan dilakukan militan Negara Islam (IS) di tengah lapangan terbang dan tren metro menyebabkan kira-kira 35 orang terkorban dalam serangan terbaharu secara besar-besaran di Eropah.
Dua letupan besar oleh penyerang dengan bom dalam beg mereka terkena dewan masuk di Lapangan Terbang Zaventem, mengakibatkan tempat itu dipenuhi darah dan serpihan anggota badan yang hancur dan menyebabkan beratus-ratus penumpang dilanda ketakutan.
Pihak berkuasa Belgium menghebahkan gambar dua suspek penyerang sedang menolak troli dengan bom mereka di kawasan terminal dan berkata mereka “sedang aktif mencari” penyerang ketiga di mana bomnya gagal meletup.
Helikopter polis berlegar di ruang udara bandar raya itu sehingga lewat malam waktu tempatan dan serbuan dilakukan di seluruh Belgium.
Sementara itu, pendakwa raya berkata, sebutir bom, bendera IS dan bahan kimia ditemui dalam sebuah pangsapuri. – AFP/BH ONLINE