SELANGAU – Suasana di Rumah Panjang Cr. Andrewson Ngalai Asom hari ini meriah dengan lagu ‘Wawasan Bekikis Bulu Betis’ berkumandang menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Lagu gubahan penyanyi Iban terkenal yang juga Tuai rumah panjang itu Andrewson Ngalai cukup popular di Sarawak, merupakan lagu yang amat diminati Najib dan sering kali dimainkan pada setiap program yang dihadiri beliau di negeri ini.
Lebih menarik lagu tersebut dinyanyikan sendiri oleh Andrewson Ngalai. Liriknya digubah semula Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan mengekalkan tajuk yang sama.
Najib dalam ucapannya berkata bait-bait lirik lagu tersebut boleh diumpamakan seperti Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada pelbagai parti namun dengan satu matlamat dan perjuangan yang sama.
“Sama macam kita menari lagu tadi…bila menari masing-masing dengan gaya sendiri namun dengan satu irama yang sama.
“Perjuangan tidak lain tidak bukan ialah untuk pastikan Malaysia khususnya Sarawak akan terus maju seperti mana Sarawak merdeka dan berjaya dalam Malaysia.
“Untuk capai objektif ini mesti kerjasama, kongsi kemudahan serta kuasa antara satu sama lain,” kata Najib.
Tinjauan mesra di rumah panjang berkenaan merupakan sebahagian daripada program lawatan dua hari Perdana Menteri ke Sarawak bermula hari ini.
Turut hadir Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Menteri Kemajuan Tanah negeri Tan Sri James Jemut Masing dan Anggota Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun.
Majlis turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin, Datuk Joseph Mauh Ikeh dan bakal calon yang akan bertanding di kawasan tersebut pada pilihan raya negeri nanti Christopher Gira Sambang.
Mengulas lanjut, Najib berkata beliau mengambil maklum permasalahan air bersih yang dialami di Skim Penempatan Semula Skuau yang disuarakan oleh ADUN Tamin.
“Saya ambil perhatian masalah ini dan luluskan penghantaran 100 tangki air ke kawasan ini. Saya akan luluskan peruntukan untuk meningkatkan loji air di Stapang,” katanya sambil menambah permintaan lain akan diluluskan mengikut keupayaan kerajaan.
Sementara itu Najib mengucapkan terima kasih kepada Mauh atas sumbangan selama empat penggal menjadi ADUN.
“Saya dimaklumkan oleh Presiden PRS, Mauh mahu berhenti secara sukarela. Selama empat penggal, banyak jasa telah beliau sumbangkan atas nama BN.
“Ribuan terima kasih diucapkan kepada beliau atas segala jasa bakti yang dicurahkan selama ini. Kepada bakal calon baharu kita Gira, seorang jurutera kita akan saksikan masa depan yang cerah untuk kawasan ini,” katanya. – BERNAMA