BRUSSELS – Seorang jaguh taekwondo Belgium, yang juga adik kepada suspek penyerang Lapangan Terbang Brussels, Najim Laachraoui semalam mengutuk keras pembabitan abangnya dalam serangan maut itu.
Mourad Laachraoui berkata, beliau terkejut sebaik abangnya dipercayai menjadi salah seorang pengebom berani mati yang membunuh 31 orang dan mencederakan 300 lain di ibu negara Belgium. “Saya kecewa dan terkejut.
Sukar untuk percaya bahawa itu adalah dia, tetapi anda tidak boleh memilih keluarga anda,” katanya pada sidang akhbar.
Laachraoui berkata, mereka tidak berhubung sejak abangnya meninggalkan Belgium untuk ke Syria lebih dua tahun lalu.
Beliau menyifatkan abangnya sebagai seorang lelaki normal, mengamalkan Islam dan mengejutkan keluarga apabila terbabit dengan pertubuhan radikal Islam.
Najim Laachraoui dikenal pasti oleh sumber polis sebagai pengebom bunuh diri kedua di Lapangan Terbang Brussels pada Selasa, dan disyaki pembuat bom dalam keganasan di Paris November lalu membunuh 130 orang. -AFP