PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah blok perumahan penjawat awam di Presint 5 di sini, pagi tadi.
Difahamkan, kanak-kanak itu meninggal dunia jam 10.15 pagi di Hospital Putrajaya akibat pendarahan dalaman.
Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring sambil merengek menahan kesakitan oleh seorang pekerja pembersihan yang dikenali sebagai Yati di tepi siar kaki kira-kira jam 8.30 pagi.
Yati berkata, dia ternampak budak itu ketika sedang menyapu di kawasan tempat letak kereta.
“Saya tertanya-tanya mengapa dia terbaring di situ. Apabila dihampiri, saya tergamam melihat muka kanak-kanak itu sangat pucat dan dia merengek seperti menahan kesakitan.
“Saya terus memanggil rakan yang berada berdekatan dan mengangkat kanak-kanak ke kawasan berdekatan kedai.
“Seorang penduduk kemudian terus membawa kanak-kanak itu ke hospital,” katanya. – Berita Harian