GEJALA buli dalam kalangan murid-murid sekolah bukan sahaja semakin menjadi-jadi malah sudah berada pada tahap ekstrem.
Terbaharu, seorang murid darjah dua melalui detik cemas lagi mengerikan apabila hujung lidahnya dipotong selepas dibuli murid lain di sebuah sekolah rendah di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Dalam kejadian yang berlaku pada Khamis lalu mangsa, Muhammad Ali Shukran Alias dikatakan dipaksa menggunting lidahnya sendiri oleh lima murid darjah tiga.
Harian Metro dalam laporannya menyatakan mangsa diarah memotong lidahnya ketika dibuli oleh lima murid darjah tiga. Jika enggan, mereka dikatakan mengugut akan membelasah mangsa.
“Dia (mangsa) yang takut dengan ugutan itu terus menggunting sebahagian lidahnya hingga mengakibatkan cedera,” lapor akhbar tersebut, berdasarkan sumber yang ditemui.
Ibu kanak-kanak malang tersebut yang terkejut dengan kejadian menimpa anaknya telah membuat laporan polis.
Difahamkan, mangsa sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan kini berada dalam keadaan baik.
Insiden yang menimpa adik Muhammad Ali menimbulkan pelbagai reaksi ramai apabila beberapa gambar kejadian tersebar hingga menjadi viral di media sosial sejak semalam. – MYNEWSHUB.CC