Penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH002 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Heathrow, London berada di dalam pesawat selama lima jam semasa ia berada di landasan di Manchester.
MH002 berlepas dari KLIA pada kira-kira pukul 11.47 malam Ahad lalu dan sepatutnya tiba di Heathrow pada pukul 1 petang Isnin.
Bagaimanapun, penerbangan itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Manchester berikutan angin kencang dari Ribut Katie.
Selepas kelewatan tiga jam akibat lencongan itu penumpang terpaksa berada dalam pesawat di Lapangan Terbang Manchester lebih lama lagi, kerana kecemasan perubatan disebabkan kematian seorang penumpang.
Susulan itu beberapa penumpang pesawat berkenaan menyuarakan kekecewaan mereka di Twitter dan mendakwa berdepan dengan keadaan tanpa makanan selama berjam-jam.
MAS dalam satu kenyataan memohon maaf kepada para penumpang di atas insiden kelewatan berpanjangan itu.
“Demi mengutamakan keselamatan akibat cuaca buruk dan penutupan Lapangan Terbang Heathrow, penerbangan dilencongkan ke Manchester.
“Malangnya dan tanpa sebarang kaitan, terdapat seorang penumpang yang menaiki pesawat meninggal dunia semasa penerbangan sebelum ketibaan di UK.
“Keadaan itu menyebabkan kelewatan berpanjangan bagi menunggu ketibaan dan pemeriksaan oleh pihak berkuasa berkaitan di Manchester. Pesawat juga dikuarantinkan mengikut keperluan kawalan selia,” ujar wakil syarikat penerbangan itu.
Menurutnya, disebabkan pematuhan kawal selia berkenaan, pesawat tidak dapat meneruskan penerbangan ke London walaupun selepas cuaca baik dan pembukaan semula Lapangan Terbang Heathrow.
“Selepas pemeriksaan pesawat dilakukan, kru kami terpaksa pula mematuhi peraturan had masa bertugas bagi menjalankan penerbangan yang selamat sebelum kembali ke London,” katanya sambil memohon maaf kepada penumpang terlibat bagi pihak MAS. – MYNEWSHUB.CC