KUALA LUMPUR – Sektor perikanan boleh terjejas akibat cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara pada waktu ini disebabkan oleh fenomena El Nino.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu kenyataan media berkata, cuaca panas menyebabkan hasil tangkapan ikan berkurangan akibat perubahan habitat ikan pelagik.
“Suhu panas yang terhasil daripada El Nino menyebabkan ikan berhijrah keluar sekali gus menjejaskan hasil tangkapan.
“Manakala bagi perikanan akuakultur, perubahan cuaca menyebabkan peningkatan suhu menyebabkan kandungan oksigen terlarut di dalam air menurun serta kadar kepadatan plankton meningkat.
“Keadaan ini mengakibatkan ternakan ikan menjadi ‘stress‘ dan seterusnya memudahkan jangkitan penyakit serta jumlah kematian ikan meningkat,” kata kenyataan itu semalam.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut memaklumkan sektor tanaman turut terjejas dengan fenomena cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara.
Menurut kenyataan itu, kekurangan air semasa cuaca panas boleh membantutkan pertumbuhan tanaman, mengurangkan produktiviti dan peningkatan beberapa penyakit.
“Secara umumnya pertumbuhan tanaman jangka pendek yang ada akar cetek seperti sayur-sayuran, jagung, padi dan kacang tanah lebih mudah terjejas akibat cuaca panas atau kemarau walaupun dalam jangka masa singkat,” kata kenyataan itu.
Kata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sektor ternakan juga terjejas kerana musim kemarau menyebabkan pengurangan berat badan dan kecekapan pembiakan yang boleh mengakibatkan kerugian kepada penternak dan pengurangan pengeluaran hasil ternakan.
“Kekurangan rumput segar yang membekalkan 80 peratus sumber air dan juga makanan kepada ternakan ruminan telah berkurangan dan air yang lebih diperlukan sebagai ganti,” kata kenyataan itu.
Justeru, kata kenyataan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuat keputusan menghentikan eksport ikan rakyat iaitu Kembong, Selayang, Selar, Cencaru dan Pelaling sebagai langkah menangani kesan hasil tangkapan ikan akibat fenomena El Nino.
“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut membenarkan pukat jerut dari pantai timur Semenanjung beroperasi di perairan Sarawak di mana sumber ikan pelagik kurang dieksploitasi,” kata kenyataan itu.
Kementerian memaklumkan akan terus memantau situasi perubahan cuaca secara berterusan dan memberi khidmat nasihat yang diperlukan bagi menangani kesan fenomena El-Nino kepada sektor Agro Makanan.
“Berhubung dengan laporan akhbar tempatan mengenai kebimbangan pengusaha ternakan ikan akibat cuaca panas yang boleh menjejaskan ternakan mereka, Kementerian sedang membuat penilaian ini secara menyeluruh,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC