PUTRAJAYA – Seramai 47 orang peserta pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 diraikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana, pada Rabu.
Majlis resepsi itu diadakan bagi meraikan peserta PABM 2016 selain bersuai kenal dengan sembilan finalis peserta PABM yang bakal bertanding di peringkat akhir Jumaat ini bagi merebut gelaran juara pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Berbahagia To’ Puan Seri Che Kamariah Zakaria; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kian Ching serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk PABM dan Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi.
Rosmah dalam ucap tama beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta PABM 2016 kerana telah mewakili negara dan universiti masing-masing dalam pertandingan pidato ini.
Rosmah berkata PABM, yang dimulakan pada 2007 dengan hanya 23 peserta dari 23 negara, mencatatkan pertambahan peserta setiap tahun dengan edisi ke-10 kali ini menarik 47 penyertaan dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Belanda, United Kingdom dan Uzbekistan.
Bermula dengan hanya satu kategori sahaja, kini terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Antarabangsa, Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia, katanya.
Tambah Rosmah, pertandingan pidato ini merupakan manifestasi iltizam, hasrat serta cita-cita kerajaan dan rakyat Malaysia untuk melihat Bahasa Melayu berkembang subur di persada antarabangsa.
“Di samping memartabatkan Bahasa Melayu, PABM bertujuan memantapkan kreativiti penuntut dalam aspek berpidato kerana pidato merupakan satu seni persembahan yang unik dan berkesan sekiranya di sampaikan dengan baik. Ianya mampu mengubah pandangan dan paradigma pemikiran penonton yang mendengarnya.
“Ia ibarat senjata ampuh para pemidato yang mampu merubah perasaan dan semangat pendengar.
“Bahasa Melayu perlu diglobalkan dengan memberi tumpuan kepada kerjasama akademik dengan universiti ternama seluruh dunia melalui bidang pengajian bahasa Melayu,” ujar beliau lagi.
Rosmah berkata, kerjasama itu dapat diperkukuhkan dan diperluaskan lagi dengan penganjuran persidangan antarabangsa dalam bahasa Melayu yang mengumpulkan tokoh dan cendekiawan serta para pelajar dari seluruh dunia.
“Kita boleh mempergiatkan lagi program pertukaran pelajar dan penuntut dari universiti luar negara ke Malaysia selain menggalakkan penempatan sabatikal kepada tenaga pengajar Bahasa Melayu yang berada di unversiti luar negara ke universiti tempatan bagi mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu di samping mendedahkan mereka dengan budaya dan adat resam masyarakat Melayu.”
Majlis yang berlangsung selama dua jam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan penuh warna-warni dari universiti tempatan dan peserta PABM 2016.
Rosmah turut menghiburkan para tetamu dengan menyanyikan beberapa buah lagu diiringi oleh Datuk Syed Sobri dan Datin Azie semasa majlis berlangsung.
Dalam pada itu, pelbagai juadah dan hidangan tradisional tempatan dihidangkan antaranya soto, roti jala dan talam Sarawak kepada hadirin yang hadir.
Jumaat ini, peserta yang mara ke peringkat akhir akan berentap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi penentuan Juara PABM 2016. – MYNEWSHUB.CC