SEREMBAN – Desakan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berundur tanpa adanya cadangan nama pengganti sudah cukup memberi mesej jelas bahawa desakan itu dibuat demi kepentingan peribadi, kata penganalisis politik.
Penganalisis politik turut menyifatkan desakan, yang dilakukan menerusi satu kempen dikenali sebagai ‘Deklarasi Rakyat’, atau lebih tepat jika disebut ‘Deklarasi Mahathir’, sebagai tidak rasional tambahan pula ia tidak disertai dengan pelan hala tuju jelas dan tidak menyelesaikan permasalahan rakyat terbanyak.
Apa pun alasannya, kemaslahatan rakyat adalah perkara yang harus diberi keutamaan oleh semua pemimpin baik di peringkat parti mahupun kerajaan dan ini yang sedang dilakukan Perdana Menteri, kata mereka.
DEKLARASI YANG KABUR
Persoalannya adakah ‘Deklarasi Mahathir’ mewakili rakyat terbanyak atau ia sekadar perjuangan untuk kepentingan pihak tertentu?
Mengupas persoalan itu, pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Che Hamdan Che Mohd Razali berpendapat deklarasi itu tidak mewakili suara rakyat keseluruhannya dan ia digunakan demi kepentingan kumpulan berkenaan.
“Yang saya nampak, deklarasi itu untuk masing-masing yang ada kepentingan, tidak kira sama ada pembangkang mahupun pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bersekongkol dengan pembangkang.
“Deklarasi ini tidak jelas dan persoalannya apakah selepas perdana menteri letak jawatan, segala masalah rakyat akan selesai? Deklarasi ini tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat secara total,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata pada masa ini rakyat tertanya-tanya tentang matlamat sebenar deklarasi berkenaan.
“Apa yang nyata ia sekadar agenda untuk menjatuhkan Perdana Menteri sahaja. Siapa pengganti Najib tidak pula disebut. Apa pelan selepas ini juga tidak diketahui dan tidak dimaklumkan pada umum,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata misalnya ketika era pimpinan bekas perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, terdapat pelan peralihan kuasa yang jelas bahawa Najib dinamakan untuk menggantikannya.
“Saya tidak nampak apakah kebaikan deklarasi ini,” katanya.
Pada 4 Mac lepas, bekas perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang – termasuk veteran DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali – memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
IMPAK DEKLARASI
Berkenaan impak deklarasi berkenaan, kedua-dua penganalisis politik percaya ia tidak memberi kesan besar terhadap kesatuan dalam UMNO mahupun BN.
Mohd Izani berpendapat anggota UMNO dan BN kini semakin matang dan tidak cepat melatah, meskipun kecewa dan marah dengan tindakan sebilangan pemimpin parti bersekongkol dengan pembangkang.
“Kesannya kepada UMNO tidak besar kerana anggotanya setia kepada parti dan pimpinan… mungkin sedikit terkesan kepada rakyat berikutan persepsi negatif kepada kerajaan,” katanya.
Che Hamdan berpendapat jika deklarasi itu berjaya mendominasi pemikiran rakyat, maka UMNO selaku parti tunjang kerajaan BN perlu mengambil langkah proaktif memperbetulkan keadaan.
“Ini akan membentuk krisis keyakinan dan akhirnya institusi parti boleh runtuh. Oleh demikian, semua pemimpin harus bekerja keras dan menyusun semula gerak kerja selain perlu mencapai keputusan yang kolektif dalam apa jua isu bagi meyakinkan semula rakyat,” katanya.
CUBAAN NAFI PELUANG BN DI PRN SARAWAK?
Benarkah pertelingkahan yang timbul ini bertujuan menafikan peluang BN menguasai majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang?
Mohd Izani berkata kemungkinan untuk mensabotaj penguasaan BN di Sarawak itu ada.
“Yang paling gembira adalah DAP kerana mereka memang mengidamkan untuk menambah bilangan kerusi di Sarawak. Jadi apabila Dr Mahathir bersama pembangkang, ini menguntungkan mereka.
“Saya percaya momentum ini akan cuba dikekalkan pembangkang sehingga pilihan raya negeri untuk menafikan majoriti dua pertiga BN di Sarawak,” katanya. – BERNAMA