KUALA LUMPUR – Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang menyifatkan kegagalan mendapat tiket acara pecut individu Sukan Olimpik Rio 2016 bukan dianggap satu kegagalan tetapi satu proses pembelajaran bagi dirinya.
Kegagalan melepasi pusingan kelayakan pada Kejohanan Trek Dunia di London, Jumaat, tidak mematahkan semangat pelumba berusia 28 tahun itu memberi saingan terbaik dalam acara kegemarannya, keirin, esok.
“Saya hanya berjaya menduduki tempat ke 28 dalam acara Sprint (pecut) dan secara teknikalnya, keputusan itu tidak membolehkan saya untuk beraksi dalam acara itu pada Sukan Olimpik Rio 2016.
“Saya dan jurulatih, John Beasley bersama-sama pasukan melihat peluang yang terlepas untuk mendapatkan tempat bagi acara Sprint itu dari sudut yang lebih positif.
“Melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara keirin sahaja membolehkan saya untuk lebih fokus kepada persiapan dan perlumbaan khusus bagi acara itu sahaja,” katanya dalam entri terbaru dalam akaun Twitter dan Facebook miliknya.
“Kegagalan adalah apabila kita berhenti dari terus mencuba.
“Saya telah berjuang habis-habisan untuk mendapatkan tempat bagi acara Sprint ini hingga ke titisan yang terakhir namun ‘the best man win’.
“Buat masa ini, saya akan ‘move forward’ dan memberikan tumpuan kepada acara keirin di mana saya berada di dalam ranking nombor satu dunia,” katanya.
Dalam acara pecut, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu hanya mampu mencatatkan masa 10.084 saat dalam pusingan kelayakan dengan menduduki tempat ke-28 daripada 34 pelumba.
Keputusan itu menyaksikan Azizulhasni hanya akan bersaing dalam acara keirin di temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini. – BERNAMA