IDOMENI – Greece bakal menerima 100,000 lagi pendatang menjelang akhir bulan ini, kata suruhanjaya pendatang Eropah, dua hari menjelang sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) – Turki yang dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian kepada krisis itu.
Ketika negara anggota terus bertelagah, Dimitris Avramopoulos, yang bertanggungjawab dalam urusan pendatang di Brusslels, menunjukkan langkah seterusnya, termasuk membaik pulih peraturan pemohon suaka, untuk membantu mengurangkan ketegangan.
“Ratusan pendatang tiba setiap hari dan Greece dijangka menerima seramai 100,000 lagi menjelang akhir bulan,” kata Avramopoulos kepada persidangan di Athens.
Greece menjadi pusat krisis pelarian terbesar Eropah selama enam dekad selepas siri sekatan sempadan ke atas laluan pendatang oleh Austria ke Macedonia yang menyebabkan kesesakan di negara itu.
Lebih 30,000 pelarian dan pendatang kini terkandas di negara itu, terdesak untuk ke utara, terutama ke Jerman dan Scandinavia.
“Dalam masa beberapa minggu, EU akan mengumumkan semakan terhadap peraturan pendatang untuk memastikan pengagihan beban dan tanggungjawab yang adil,” katanya. – AFP/BH ONLINE