KANGAR – Harga mempelam harumanis yang menjadi ikon di Perlis dijangka akan lebih mahal kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan tahap pengeluaran buah tersebut yang amat tidak memberangsangkan.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Perlis, Ahmad Bakri Ali berkata tahap pengeluaran harumanis pada musim ini berkurang sebanyak 40 peratus akibat kesan perubahan cuaca yang tidak menentu.
“Pengeluaran harumanis merosot kesan daripada cuaca panas terik yang disulami dengan sedikit kelembapan udara pada sesetengah waktu terutama waktu malam menyebabkan banyak pokok tidak berbunga sebaliknya mengeluarkan pucuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Negeri di Dewan Warisan, di sini hari ini.
Ahmad Bakri berkata Perlis menghasilkan 2,400 tan metrik harumanis bernilai RM40 juta pada musim tahun lepas manakala bagi tahun ini daripada 1,028 hektar tanah di seluruh negeri yang ditanam dengan mempelam harumanis, hanya 60 peratus yang berbuah.
“Hasil tahun sebelumnya juga masih tidak cukup menampung permintaan. Dengan kemerosotan pengeluaran tahun ini dikhuatiri ada peniaga yang akan mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya.
Menurut Ahmad Bakri fenomena El-Nino sepatutnya amat baik bagi proses pertumbuhan dan penghasilan mangga harumanis yang berkualiti kerana pokok akan berbunga lebat seterusnya berupaya menghasilkan buah yang lebih banyak, tetapi pada kali ini ia adalah sebaliknya.
Katanya apa yang berlaku sekarang adalah julung kali terjadi kepada proses pengeluaran harumanis malah dijangka tahun ini akan ada dua tempoh berbeza untuk orang ramai menikmati keunikan mangga tersebut.
“Biasanya musim harumanis boleh dinikmati pada awal April sehingga awal Mei. Tetapi melihat kepada pola pertumbuhan sekarang dijangka harumanis akan dapat dinikmati agak lewat iaitu bermula hujung April sehingga hujung Mei dan pada Julai nanti,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya kerajaan negeri giat melakukan pelbagai usaha dan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik supaya mampu meningkatkan pengeluaran harumanis.
“Musim mangga harumanis hanya sekali setahun, justeru antara kaedah yang difikirkan sesuai adalah dengan memastikan harumanis mampu mengeluarkan buah sepanjang tahun tanpa mengikut musim,” katanya.
“Buat masa ini Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) giat menjalankan penyelidikan tentang kaedah paling praktikal untuk memastikan matlamat ini dapat direalisasikan,” katanya.
“Melalui kajian di peringkat awal ini kita dapati memang ada pokok yang boleh berbuah sepanjang tahun tetapi ia memerlukan penyelidikan lanjut, maknanya peluang itu cerah cuma memerlukan beberapa peringkat kajian yang lebih lagi,” katanya. – BERNAMA