KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengutuk serangan bersenjata ke atas ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh Aidh Al-Qarni yang ditembak selepas memberi syarahan di Filipina kelmarin.
Presidennya, Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad berkata, pihaknya melahirkan kesyukuran kerana beliau kini dilaporkan stabil setelah menerima rawatan di Manila.
“Seluruh pimpinan dan ahli-ahli IKRAM sentiasa mendoakan agar beliau segera diberikan kesembuhan.
“IKRAM turut mendoakan agar semua pendakwah diberikan keselamatan dalam menyampaikan dakwah di mana jua lapangan dan di mana-mana sahaja di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Memetik laporan AFP, kejadian berlaku ketika Sheikh Aidh menaiki kereta bersama beberapa individu lain setelah memberikan ceramah di Zamboanga sebelum diserang .
Sheikh Aidh telah dibawa ke hospital sejurus kejadian dan dilaporkan stabil dan penyerang dikatakan telah mati ditembak pasukan keselamatan di tempat kejadian.
Sheikh Aidh juga merupakan penulis kepada buku terkenal ‘La Tahzan’ (Jangan Bersedih). – mynewshub.cc