KUALA LUMPUR – Orang ramai dan pihak media diminta tidak menyalahkan Jabatan Imigresen (Imigresen) apabila urusan mereka terjejas kerana pekerja asing di premis tertentu ditahan pihak berkuasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Sakib Kusmi berkata, pihak yang sepatutnya dipersalahkan oleh orang ramai yang menghadapi masalah kerana urusan mereka terganggu adalah golongan majikan yang menggunakan pekerja asing secara tidak sah.
“Merujuk kepada laporan Malay Mail mengenai operasi bersepadu ke atas medan selesa dan lain-lain premis perniagaan di IOI City Mall yang menyebabkan peniaga dan pengunjung berhadapan kesukaran.
“Perkara ini berlaku kerana ramai pekerja asing ditahan di atas pelbagai kesalahan pada operasi tersebut. Imigresen tidak seharusnya dipersalahkan kerana menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Malay Mail kelmarin melaporkan operasi sebuah medan selera dan beberapa premis makanan di pusat membeli-belah IOI City Mall di Putrajaya hampir lumpuh apabila lebih 200 pekerja asing ditahan dalam serbuan mengejut Imigresen.
Sakib berkata, Imigresen sebenarnya menahan seramai 262 warga asing kerana pelbagai kesalahan termasuk gagal mengemukakan dokumen dan pas yang sah, tinggal melebih tempoh dan melanggar syarat pas dalam operasi itu.
Menurut beliau, tangkapan itu melibatkan 75 warga Nepal, Bangladesh (62, Myanmar (44), Indonesia (56), Filipina (21) Yaman (2), Vietnam dan Syria masing-masing (1).
“Para majikan seharusnya sedar bahawa tindakan mereka menggaji warga asing tanpa pas yang sah merupakan satu kesalahan serius dan amaran telah dikeluarkan berulang kali di media massa mahupun media sosial,” katanya. – MYNEWSHUB.CC