SEPANG – Jenazah pewarta Bernama di India, M.Santhiran, tiba di tanah air hari ini melalui Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.
Jenazah mendiang yang diiringi anak sulung S.Rutran, 18, tiba di KLIA dari New Delhi menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH191 yang mendarat pada pukul 6.42 pagi.
Menyambut ketibaan jenazah di kompleks kargo berkenaan ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, pengurusan kanan Bernama serta petugas Bernama.
Antara yang turut serta ialah Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah dan Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran S.Visvakumar.
Kenderaan yang membawa keranda mendiang yang ditutup dengan bendera Bernama meninggalkan Kompleks Kargo KLIA pada pukul 8.10 minit untuk dibawa ke kediaman mendiang di Puchong.
Kenderaan yang membawa jenazah bergerak dalam satu konvoi yang disertai anggota keluarga mendiang, pengurusan kanan serta petugas Bernama dan diiringi kenderaan polis.
Bercakap kepada Bernama, Johari merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Wisma Putra kerana membantu urusan membawa pulang jenazah mendiang dari India.
“Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian yang disifatkan kehilangan besar kepada keluarga Bernama kerana mendiang merupakan wartawan senior yang amat komited dengan setiap kerja yang diamanahkan,” katanya.
Santhiran, 48, dimasukkan ke wad Primus Chanakyapuri Hospital di New Delhi sejak Jumaat kerana komplikasi akibat keracunan makanan sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi Ahad.
Mendiang meninggalkan isteri, D. Malarvili, 47, seorang guru, serta dua anak lelaki, Rutran, 18, dan Nahvin, 16.
Mendiang menyertai Bernama pada Oktober 2002 dan menjadi pewarta Bernama di New Delhi sejak Oktober 2015.
Sementara itu, Zakaria merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada warga kerja Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi khususnya kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India, Datuk Naimun Ashakli Mohammed.
Katanya sejak Santhiran dimasukkan ke hospital Jumaat lepas, para pegawai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia banyak menghulurkan bantuan dan kerjasama yang diperlukan terutama ketika isteri dan anak mendiang tiba di New Delhi.
“Kerjasama yang diberikan para pegawai di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi membolehkan pihak pengurusan Bernama berurusan secara terus dengan mereka.
“Pegawai di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India turut menjemput isteri dan anak mendiang di lapangan terbang, menguruskan tempat penginapan dan mendahulukan bil hospital mendiang. Oleh itu Bernama mengucapkan terima kasih,” katanya.
Kos membawa pulang jenazah mendiang dan pengurusan jenazah ditanggung oleh Bernama. – BERNAMA