ALOR SETAR – Jumlah kedatangan pelajar selama dua hari selepas cuti penggal pertama di beberapa sekolah di sini tidak terjejas walaupun cuaca panas dengan suhu melebihi 37 darjah celcius.
Pengetua Sekolah Menengah Sultanah Asma, Kartini Zakaria, berkata rekod kehadiran pelajar di sekolah itu mencatatkan jumlah 97 peratus kehadiran, daripada sejumlah 700 pelajar melibatkan 30 kelas.
“Dua puluh peratus atau lebih kurang 200 pelajar duduk di asrama, justeru tidak menghalang kedatangan pelajar ke sekolah walaupun cuaca panas.
“Kebanyakan daripada ibu bapa juga menghantar sendiri anak-anak mereka ke sekolah jadi risiko mereka untuk terdedah kepada cuaca panas berbanding mereka menaiki motosikal, berjalan kaki atau berbasikal itu kurang,” katanya kepada Bernama.
Mengulas keputusan Kementerian Pendidikan mengumumkan cuti dua hari bagi Kedah dan Perlis esok berikutan cuaca panas, beliau berkata KPM mengambil langkah tepat dengan mengambil kira kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
Di Kedah sebanyak 413,786 pelajar terdiri daripada 162,264 (Sekolah Menengah), 190,930 (Sekolah Rendah) dan 13,463 pelajar prasekolah terlibat dengan penutupan sekolah selama dua hari.
Ia melibatkan 202 sekolah menengah, dan 547 sekolah rendah serta 32,421 guru.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung, Fauziah Mohd Hanafiah, berkata murid-murid tetap ke sekolah seperti biasa sebelum pengumuman itu.
Beliau berkata pihak sekolah mengambil inisiatif menyediakan air percuma kepada murid-murid dan diletakkan di kantin sekolah..
Guru pendidikan Khas di sebuah Sekolah Kebangsaan di Sungai Petani yang hanya mahu dikenali sebagai Zuliati berkata keputusan yang dibuat Kementerian Pendidikan disambut baik guru dan ibu bapa.
“Selain guru, saya merupakan ibu kepada pelajar jadi sudah tentu saya setuju, saya pun bimbang dengan kesihatan anak yang terdedah dengan suhu tinggi,” katanya. – BERNAMA