KUALA LUMPUR – Bank-bank pusat Asia perlu memperkenalkan dasar dan pembaharuan untuk menangani jurang perbezaan pendapatan yang besar bagi mempersiapkan ekonomi rantau ini untuk menghadapi masa depan.
Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata ini akan menjadi satu daripada cara bagi menangani dengan berkesan pembangunan prasarana dan pembandaran.
“Ini akan memberikan kelestarian alam sekitar dan kelaknya kepentingan bagi tadbir urus, pertanggungjawaban dan integriti dalam pelaksanaan banyak usaha untuk mencapai kemajuan mapan.
“Kita kini perlu mempersiapkan diri untuk masa depan,” katanya pada majlis makan malam anjuran Bank for International Settlements, di Shanghai, pada Isnin.
Zeti berkata antara cabaran masa depan yang dijangka dihadapi Asia ialah memastikan sama ada model pertumbuhannya mapan memandangkan kesan-kesan daripada penghakisan kelebihan demografi, peningkatan keberhutangan dan kenaikan kos hidup dalam era inflasi rendah.
Bagi kebanyakan bank pusat di negara sedang pesat membangun, beliau berkata mereka dijangka berusaha mengambil langkah ke arah menangani banyak cabaran ini secara langsung dan juga tidak langsung.
Beliau menegaskan bank-bank pusat memainkan peranan menyediakan sokongan bagi menangani pelbagai isu seperti inklusi kewangan, pembiayaan prasarana, menyediakan jaringan keselamatan kewangan dan sosial atau kelestarian alam sekitar.
“Daripada pengalaman saya, penyertaan bank pusat dalam banyak agenda ini akan memerlukan pengurusan sempadan yang berhati-hati dan memuktamadkannya apabila ia selesai agar ia tidak kekal selama-lamanya dengan bank pusat.
“Kepentingan utama dalam proses ini juga adalah untuk melindungi dengan berhati-hati kebebasan bank pusat,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]vviAgsntjgA[/wpdevart_youtube]